Dion Cools Antara Jemputan TMJ Bersama Pemain JDT Di Majlis Ulang Tahun Keputeraan

Pemain kacukan Malaysia-Belgium dan tunjang bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools adalah antara jemputan yang menghadiri sambutan Ulang Tahun Keputeraan YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah Binti Tunku Ismail semalam.

Melalui sekeping foto yang dikongsi di IG Story Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Cools dilihat duduk semeja dengan beberapa individu lain termasuk seorang lagi pemain berdarah kacukan, Junior Eldstal.

Cools dan Eldstal adalah antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang baru ditutup baru-baru ini.

Selain daripada JDT, spekulasi di media sosial turut mengaitkan Cools bakal ke Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menyertai Brenford – kelab yang turut dimiliki oleh pemilik yang sama dengan kelab asalnya FC Midtjylland di Denmark.

Foto yang kini telah mulai tular di media sosial itu turut memaparkan penyerang JDT, Fernando Forestieri; Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora; dan Martin Prest yang bertanggungjawab menjana banyak perpindahan di kelab itu sebelum ini duduk semeja.

Namun demikian belum ada lagi sebarang pengumuman daripada JDT mengenai pemain baharu yang akan menyertai juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut itu walaupun sebelum ini mengesahkan akan mendatangkan sekurang-kurangnya dua pemain tempatan baharu.

Spekulasi Cools bakal menyertai JDT tidak pernah padam sejak TMJ menyatakan ‘pintu JDT’ sentasa terbuka untuk pemain yang berpengkalan di Eropah itu di dalam satu temubual setahun lalu.

Dalam satu sesi soal jawan di laman Instagram Story miliknya pada tahun lalu, TMJ telah mengesahkan perancangan untuk membawa masuk Dion Cools sudah lama ada, tetapi ia terpulang kepada pemain itu sama ada untuk menerima atau sebaliknya.

“Dion Cools berada di tahap yang lain dan beliau merupakan pemain yang bagus. Perancangan untuk bawa [Dion Cools] ke JDT sudah lama tetapi terpulang kepada pemain itu.

“Buat masa ini beliau masih muda dan lebih baik beraksi di peringkat tertinggi Eropah selama yang beliau mahu,” kata TMJ pada ketika itu.

Hakikat Cools masih lagi berada di Malaysia bersama isteri dan anaknya, dan tidak terus pulang ke Eropah selepas selesai tugasan bersama pasukan negara di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang lalu membuatkan spekulasi itu semakin kencang.

Cools sebelum ini bercuti di Langkawi bersama keluarganya, sebelum menghala ke Singapura dan menyeberang seberang tambak untuk bersam-sama TMJ meraikan Ulang Tahun Keputeraan puterinya.

Kongsi artikel ini