Nampaknya penyokong Manchester United boleh menarik nafas lega. Ini kerana penyokong Man United tidak perlu menggayakan jersi baharu untuk musim depan yang dikatakan mempunyai corak seperti tempat duduk di dalam bas.
Nampaknya corak baharu telah menjadi tular dan rata-rata penyokong The Red Devils menarik nafas lega.
Sebelum ini gambar-gambar rekaan jersi baharu Manchester United bagi musim 2020/2021 bocor di atas talian tetapi penyokong tidak menyukai rekaan yang dilihat seperti ‘tempat duduk bas’ itu.
Namun kini rekaan baru turut tular dari sumber yang sama, Footy Headlines, tampil dengan corak yang berbeza.
Mempunyai warna asas merah seperti kebiasaan bersama logo adidas dan tiga jalur putih di bahu, jersi rekaan terbaru ini menampilkan grafik berjalur secara melintang.
Tetapi sekali pandang, dan bila difikirkan balik, rekaan ini seolah-olah menyamai rekaan jersi Harimau Malaya yang dikeluarkan Nike.
Bezanya adalah pada saiz jalur yang melintang pada keseluruhan jersi. Bagaimanapun jika benar adidas menggunakan rekaan baharu itu, ia pasti lebih digemari oleh penyokong United berbanding rekaan tempat duduk bas seperti yang tular sebelumnya.
Jersi baharu ‘Home’ Man United untuk musim 2020/21 dijangka akan dilancarkan pada Julai atau selepas saingan pada musim 201920 tamat. Untuk jersi ‘Away’, ia akan dilancarkan lebih awal iaitu pada bulan hadapan.
Tidak dapat dipastikan sama ada rekaan terbaru ini benar-benar akan menggantikan rekaan jersi yang menyerupai tempat duduk dalam bas.
Jika benar, maka rekaan jersi yang menyerupai tempat duduk bas itu berkemungkinan juga adalah gimik semata-mata. Atau adakah rekaan tersebut ditukar selepas rekaan asal dikutuk secara global?
Pengumuman corak jersi walaupun hanya sekadar gimik, pasti akan menarik perhatian sesiapa sahaja. Namun untuk memastikan kebenarannya, semua pihak kena tunggu sehingga pelancarannya.
Namun perkara yang lebih membimbangkan United sepatutnya ialah mengenai kelayakan mereka ke pertandingan Champions League pada musim hadapan.
Sekiranya gagal layak ke pertandingan elit eropah itu, nilai tajaan jersi akan susut nilai sebanyak £4.5 juta setahun, untuk baki lima tahun perjanjian bersama Adidas.
Sumber: FootyHeadlines