Digantung 18 Bulan Kerana Tuntut Hadiah Kemenangan Kejohanan Hoki

Ingatkan berlaku di luar negara. Rupa-rupanya perkara ini berlaku di arena sukan negara di dalam sukan hoki.

Semalam Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membuat keputusan mengenakan hukuman penggantungan selama 18 bulan ke atas pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin daripada sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta.

Dan semuanya angkara tindakan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menuntut hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 selaku juara LHM Wanita 2020 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

Hockademy merupakan kelab hoki di bawah naungan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA)dan muncul juara dan nain juara dalam dua pertandinhan anjuran KHM itu sejak Februari lepas.

Sebelum ini Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal pernah mengumumkan KHM akan melangsaikan wang kemenangan kepada pemenang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 pada Jun lalu selepas tertangguh susulan pandemik COVID-19.

Menurut Jawatankuasa Disiplin KHM melalui satu kenyataan semalam, Megat Shahriman didapati melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL).

Klausa 6 Kod Tatatertib MHL menyatakan bahawa ianya adalah satu kesalahan sekiranya kenyataan media merupakan serangan peribadi (personal attack) terhadap mana-mana individu atau pentadbiran KHM.

“Umum mengetahui bahawa kenyataan media yang dinyatakan oleh saya hanyalah berkaitan dengan tuntutan pembayaran hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020 kepada KHM tanpa melibatkan apa-apa serangan peribadi terhadap mana- mana individu mahupun pentadbiran KHM,” ujar Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan semalam.

“Saya hanya bertindak untuk membuat kenyataan media setelah KHM gagal untuk menjawab surat rasmi saya kepada KHM bertarikh 15 April 2020 dan 27 Mei 2020 berkaitan dengan status pembayaran duit kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020.”

Dalam kenyataan yang sama oleh pemilik kelab Hockademy itu, pertuduhan oleh KHM turut mengaitkan tindakan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menulis surat kepada penaja-penaja Liga Hoki Malaysia 2020 iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Qnet (M) Sdn. Bhd. (Qnet) bertarikh 1 Jun 2020.

Ia bertujuan untuk mendapatkan kepastian sama ada KHM telah menerima wang penajaan daripada penaja-penaja untuk mengetahui status sebenar hadiah kemenangan setelah tidak menerima apa-apa jawapan rasmi daripada pihak KHM selepas hampir 4 bulan tamatnya kejohanan tersebut.

Jika Klausa 6 Kod Tatatertib MHL dijadikan rujukan pendakwaan, maka surat-surat tersebut sepatutnya tidak mempunyai kaitan dengan pendakwaan kerana ia bukan berbentuk kenyataan awam, tetapi merupakan usaha untuk mendapatkan kepastian.

Peguam yang mewakili Datuk Seri Megat D Shariman iaitu, suadara Zhafri Aminurashid ketika dihubungi oleh kami berkata terdapat banyak kecacatan prosedur pendengaran tatatertib. Antaranya peguam yang mewakili Datuk Seri Megat tidak dibenarkan bercakap bagi pihak diwakili ketika prosiding.

“Hukuman terlalu berat dan tidak munasabah. Beliau [Datuk Seri Megat] cuba bertanyakan hadiah kewangan tetapi digantung selama 18 bulan oleh KHM,” ujar beliau melalui panggilan telefon kepada wakil kami.

“KHM juga tidak ikut piawai peraturan dan tatatertib yang dipertuntukkan oleh Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH) berkaitan pendengaran kes,” jelasnya lagi.

Kongsi artikel ini