Di Mana ‘Pitch Cover’ Milik SNBJ Yang Dibeli Untuk Sukan SEA 2017?

Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika pusingan kelayakan Piala Asia baru-baru ini telah menjejaskan nama baik negara sebagai salah sebuah destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa.

Ini bukan kali pertama padang SNBJ menjadi isu di negara ini, dan ianya akan berlaku setiap kali penggunaan padang membabitkan perlawanan penting bola sepak diadakan di stadium itu.

Hujan lebat yang mencurah turun beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan di antara Malaysia dan Bahrain pada 11 Jun lalu memburukkan lagi keadaan, setelah kualiti padang dikritik beberapa jurulatih pasukan bertanding.

Lebih mengejutkan, keadaan air yang bertakung menyebabkan petugas stadium menggunakan peralatan seperti penyodok, kadbod dan hos getah untuk menolak air keluar padang.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya sama ada Malaysia memiliki kepakaran atau benar-benar peduli akan penjagaan padang stadium tersebut.

Cadangan TMJ

Keadaan padang SNBJ yang begitu teruk akibat hujan lebat sebelum sepak mula perlawanan di antara Malaysia dan Bahrain tempoh hari turut mengundang cadangan daripada Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor(TMJ).

Melalui ciapan yang dimuat naik, TMJ mencadangkan agar pihak pengurusan stadium menggunakan ‘pitch cover’ atau penutup padang sekiranya kos membina sistem perparitan atau ‘drainage system’ terlalu mahal.

Ini kerana penggunaan ‘pitch cover’ memerlukan kos yang lebih murah, iaitu sekitar RM300,000 berbanding pembinaan semula sistem perparitan stadium.

Idea tersebut walaupun bukan penyelesaian jangka masa panjang buat SNBJ, ia sekurang-kurangnya mampu mengelak padang daripada rosak teruk sekaligus membenarkan perlawanan untuk berjalan lebih lancar.

Di mana ‘pitch cover’ SNBJ?

Sebenarnya SNBJ sudah pun memiliki ‘pitch cover’ sendiri. Perkara itu didedahkan oleh Anggota Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Chris Raj melalui temubual dalam rancangan Nindia Bola yang dihoskan oleh Hafizal Hamad terbitan Astro Arena beberapa minggu lalu.

Menurut Chris Raj, penutup padang itu sudah pun dibeli oleh pihak pengurusan stadium pada Sukan SEA khusus untuk penganjuran Sukan SEA 2017.

Soalannya mengapakan ianya tidak digunakan di pusingan kelayakan Piala Asia yang lalu, dan di manakah pitch cover itu pada hari ini.

“Bagaimana mereka [pihak pengurusan stadium] boleh salahkan FAM yang menyewa stadium daripada PSM? Stadium itu dipanggil Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan Stadium Persatuan Bola Sepak Malaysia,” katanya dalam rancangan tersebut.

“Bagaimana mereka boleh menyalahkan FAM untuk tugasan padang? We are not the field expert. Sepatutnya PSM menyediakan groundsmen yang expert untuk pertandingan ini, groundsmen patut ada di sana.”

Dan menurut Chris Raj apabila TMJ melakukan ciapan mengenai penggunaan pitch cover bernilai RM300,000, beliau turut mendedahkan PSM sebenarnya telah membeli pitch cover tersebut pada 2017 ketika negara menganjurkan Sukan SEA.

“Sebenarnya sheet [pitch cover] itu telah dibeli pada 2017 dengan harga [sekitar] RM700,000 atau RM800,000. Soalan saya di mana cover tersebut?” Tanya beliau.

“Benda dah ada, mana benda tersebut. PSM caj [kenakan bayaran] levi, ticket collection, deposit, bayaran dan sebagainya. Kita tidak dapatkan padang itu percuma.”

SNBJ dibaik pulih sekali lagi?

Situasi padang yang teruk di SNBJ ketika perlawanan tersebut turut mengundang kritikan daripada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang turut mengancam akan menggantung stadium tersebut daripada sebarang penganjuran pertandingan bola sepak di bawah badan itu pada masa depan sekiranya situasi sama tidak berubah.

Sebagai langkah menyelesaikan itu itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Menterinya, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu melalui satu kenyataan mengumumkan stadium itu ditutup serta merta pada 15 Jun lalu untuk tujuan baik pulih segera.

Mengikut perancangan asal, SNBJ akan melalui proses baik pulih pada Mac tahun hadapan. Namun situas terkini memerlukan tindakan segera diambil demi memastikan maruah sukan negara tidak terus diaibkan.

Kongsi artikel ini