Der Klasiker: Kisah Bayern Munich Bantu Bayar Gaji Pemain Dortmund Yang Hampir Muflis

Bayern Munich dan Borussia Dortmund terkenal dengan perseteruan mereka yang dikenali sebagai Der Klasiker. Namun pada 2004, berlakunya momen unik diantara kedua-dua kelab apabila perseteruan diketepikan seketika.

Sebagai peminat sukan bola sepak, rata-rata daripada kita hanya tahu persaingan Borussia Dortmund vs Bayern Munich adalah dalam perebutan gelaran juara atau melibatkan pembelian dan perpindahan pemain.

Kisah pada 2004 juga tidak terkecuali dari perspektif berbeza kedua-dua kelab.

Dortmund terperangkap

Tahukah anda bahawa Bayern Munich pernah tampil sebagai penyelamat Borussia Dortmund yang berhadapan dengan krisis kewangan satu ketika dahulu?

Perkara ini berlaku setelah Dortmund muncul juara UEFA Champions League pada 2007. Setelah bergelar juara, Dortmund bertekad untuk muncul sebagai kuasa besar bola sepak Jerman.

Caranya ialah dengan membawa masuk ramai pemain bintang untuk memperkuatkan pasukan mereka. Namun demikian, strategi tersebut hanya memerangkap diri mereka sendiri setelah kelab tersebut mengalami masalah hutang, akibat harga pemain yang mahal.

Pada masa yang sama, saham Dortmund turut disenaraikan di bursa Frankfurt pada 2000. Namun demikian kejatuhan harga saham pada ketika itu turut tidak membantu kewangan kelab, malah menyebabkan Dortmund berhadapan dengan krisis kewangan yang amat serius.

Akibatnya, Dortmund terpaksa membenarkan Wesfalenstadion (hari ini dikenali sebagai Signal Iduna Park kerana penjenamaan tajaan) kepada syarikat real estate pada 2002.

Situasi tersebut turut menyebabkan Dortmund berhadapan masalah pembayaran gaji barisan pemainnya.

Keseluruhan situasi kewangan yang meruncing hampir menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dortmund pada ketika itu, Hans-Joachim untuk mengumumkan kelab sebagai muflis.

Jika diumumkan, akibatnya Dortmund akan disingkirkan dari Bundesliga dan hanya boleh bermain di Liga Amatur sehingga kewangan pulih sepenuhnya.

Bayern jadi penyelamat

Tatkala keadaan semakin meruncing, Bayern Munich tampil memberikan pinjaman berjumlah €2 juta, atau bersamaan dengan RM9.5 juta pada 2004.

“Ia adalah situasi yang kritikal bagi Dortmund,” dedah Uli Hoeness yang merupakan Presiden Bayern Munich pada ketika itu kepada The Guardian.

“Pada ketika itu mereka tidak mampu walau untuk membayar gaji pemain. Kami fikir kami harus membantu. Saya adalah seorang yang gemarkan semangat kesukanan, dan saya fikir itu bahagian yang kami boleh lakukan,” tambah Hoeness.

Menurut laporan pinjaman kewangan tersebut adalah bebas dari sebarang faedah, namun Dortmund perlu melangsaikan hutang tersebut sebelum Jun 2005.

Dortmund menjelaskan €1.5 juta hanya dua bulan selepas meminjam dana terebut dan baki €500,000 dibayarkan kemudian pada tarikh akhir pinjaman.

Dortmund anggap bantuan kecil

Menariknya, peristiwa itu tidak pernah didedahkan sehingga pada awal 2012 oleh Uli Hoeness.

Pada ketika itu Dortmund dan Bayern sedang bersaing sengit untuk kejuaraan Bundesliga. Media Jerman berkata pendedahan tersebut seolah-olah sengaja dilakukan untuk melemahkan Dortmund.

Namun demikian, Dortmund tetap bergelar juara Bundesliga pada musim 2011/12 di bawah kendalian Jurgen Klopp. Ia adalah musim kedua berturut-turut Klopp dan Dortmund mendominasi Bundesliga.

Thomas Tress yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan Dortmund pada ketika itu tidak menafikan bantuan yang diterima dari Bayern, namun tidak bersetuju bantuan tersebut telah mengeluarkan Dortmund daripada krisis kewangan secara total.

“Ia adalah perkara yang baik dari Bayern Munich kerana membantu kelab lain berhadapan dengan krisis,” kata Tess kepada Sports Pro.

“Ia adalah situasi yang amat kritikal untuk Dortmund [pada ketika itu]. Tetapi ia bukan untuk menyelamatkan Dortmund. Kita berbicara mengenai bantuan sebanyak €2 juta.

“Jika anda mahu tahu, hutang Dortmund pada ketika itu mencecah €200 juta. Itu bermakna ia tidak akan menyelesaikan keseluruhan masalah, tetapi benar, ia amat membantu,” jelas Tress.

Rumusan

Langkah pemulihan oleh Dortmund sejak krisis kewangan yang mereka hadapi pada ketika itu luar biasa sekali. Antara langkah yang diambil ialah menjual hak penamaan stadium sehingga dikenali sebagai Signal Iduna Park pada hari ini.

Ia menjadikan Dortmun sebagai kelab terawal di dunia untuk berbuat demikian. Asas kelab yang kukuh seperti penghasilan bakat muda juga menyumbang kepada pemulihan kewangan kelab tersebut.

 

Kongsi artikel ini