Demi Minit Perlawanan, Quang Hai ‘Reject’ Tawaran Kelab La Liga Dan Pilih Kelab Ligue 2

Ejen dan wakil kepada pemain sensasi Vietnam, Nguyen Quang Hai berkata pemain itu telah menolak tawaran daripada salah sebuah kelab utama La Liga sebelum memilih untuk terbang ke Perancis dan meneruskan karier di Ligue 2.

Quang Hai telah pun terbang ke Perancis beberapa hari lalu untuk melengkapkan perpindahan ke kelab baharunya, dan menjadi pemain Vietnam pertama beraksi di Perancis.

Laporan daripada L’Equipe – akhbar bola sepak terkenal Perancis – sebelum ini turut mendedahkan Quang Hai bakal menandatangani kontrak selama 2 tahun bersama Pau FC.

Musim lalu, Pau FC menamatkan saingan Ligue 2 di kedudukan ke-10, tetapi ia sebuah kelab yang dianggap memiliki potensi walaupun serba kekurangan dari segi kemudahan dan kepakaran.

Berpengkalan di Nouste Camp yang hanya boleh memuatkan 4,000 penyokong di setiap perlawanan, rata-rata pemain yang berada di dalam skaud Pau FC pada musim lalu adalah pemain pinjaman.

Walaupun kelab kerdil, ia dianggap sebagai peluang besar oleh Quang Hai kerana ia akan memberikan dirinya lebih banyak peluang untuk berada di dalam kesebelasn utama.

Menurut laporan akhbar Thien Phong di Vietnam, itulah sebab utama mengapa Quang Hai tidak kisah memilih kelab kurang dikenali seperti Pau FC.

Malah ejen pemain itu mendedahkan pemain itu dan pihak mereka turut menolak beberapa tawaran menarik daripada kelab La Liga kerana tidak yakin Quang Hai benar-benar diberi peluang untuk mempamerkan kebolehannya di Sepanyol.

Berkongsi sebuah foto di laman media sosial, ejen kepada Quang Hai turut memuat naik sebuah kapsyen: “Adakalanya ketika membaca laporan akhbar luar, saya berfikir dan termenung, sepeerti tidak percaya ianya akan berlaku.

“Selamat petang dari Barcelona, di mana kami telah menolak tawaran yang sangat menarik daripada salah sebuah kelab besar di La Liga.”

Buat masa ini kem Quang Hai belum mengesahkan kelab baharu yang akan disertai oleh pemain itu.

Setakat ini permohonan visa oleh Quang Hai di Perancis telah berjaya. Seterusnya, beliau akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum diumumkan secara rasmi sebagai pemain Vietnam pertama beraksi di Perancis.

Kongsi artikel ini