Terengganu FC (TFC) dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengumumkan pengganti Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu, dan perkara itu dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada hari ini, individu dimaksudkan untuk mengambil alih peranan Nafuzi di saingan Liga Malaysia 2023 tidak lain dan tidak bukan adalah Pengarah Teknikal TFC, Tomislav Steinbruckner.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Tomislav Steinbruckner hampir pasti kendalikn TFC.
Jalan tugas baik sbg TD + yakin kpakaran beliau mampu letak TFC pd kdudukan lebih baik + hrp dpt teruskn legasi NZ.
"Sbelum ini NZ pilihan ptama dan Tomi pilihan kedua ketika mesy BOD + pgurusan akn putuskn tk lama lg." – YB WS pic.twitter.com/XnEB7Vy6v3
— Tengku Danish Bahri (@tgdanish) November 27, 2022
Wan Sukairi juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah TFC yang berkuasa melantik dan menawarkan kontrak jurulatih pasukan itu.
“Semasa kita terima cadangan daripada pihak pengurusan memang Nafuzi diletakkan di kedudukan pertama untuk kita sambung kontrak beliau dan Tomislav Steinbruckner di tempat kedua,” jelas Wan Sukairi.
“Jika Nafuzi tidak terima untuk sambung kontrak, tawaran kita pergi kepada Steinbruckner. Jadi saya rasa hampir pastilah,” ujar beliau lagi.
Sekiranya benar, maka Steinbruckner bakal berhadapan tugas berat untuk membentuk kembali skuad Terengganu FC yang mantap kerana turut bersaing di Piala AFC pada musim hadapan.
Pasukan itu pasti turut akan dibayangi oleh skuad TFC kendalian Nafuzi yang berjaya muncul naib juara Liga Super, naib juara Piala FA dan kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim ini.
Tomislav Steinbruckner hampir pasti akan menjadi ketua jurulatih TFC baharu.#AWANInews #AWANIpagi https://t.co/O7P2Ons2nc
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) November 27, 2022
Sebelum ini TFC telah mengumumkan Tomislav Steinbruckner sebagai Pengarah Teknikal kelab itu bermula pada Mac 2022.
Steinbruckner bukanlah watak asing di dalam bola sepak negeri Terengganu. Ini kerana beliau turut pernah membimbing T-Team pada musim 2015.
Malah Steinbruckner juga adalah antara individu awal yang mengembangkan bakat Safawi Rasid di peringkat awal karier bintang JDT itu ketika masih bersama T-Team.
Walaupun selepas meninggalkan Terengganu pada 2016, nama Steinbruckner tidak pernah lekang dikaitkan akan kembali ke negeri itu.
Sebelum ini nama Tomislav Steinbruckner turut pernah dicanang bakal menggantikan tempat Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC sebelum kedudukan Nafuzi dikekalkan pada Disember lalu.
Maka ia tidaklah mengejutkan sekiranya nama Tomislav Steinbruckner bakal diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu pada musim hadapan, setelah Nafuzi sah memilih untuk berhijrah menyertai Kedah Darul Aman FC.