Data Dan Statistik Penjaga Gol Di Liga Malaysia Yang Membuktikan Farizal Boleh Diganti

Kekalahan 2-1 pasukan negara kepada Bahrain di saingan Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Sabtu lalu mengundang pelbagai pandangan dan komen daripada permerhati bola sepak tempatan.

Tidak terkecuali, semestinya adalah prestasi penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.

Farizal dikatakan menjadi punca kepada gol kemenangan Bahrain, sekali gus menyebabkan skuad Harimau Malaya berputih mata untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan tersebut.

Tanggapan tersebut berlaku selepas kesilapan Farizal menjatuhkan pemain penyerang Bahrain di dalam kotak penalti, selepas gagal menepis keluar hantaran lintang pertama pihak lawan.

Farizal masih No.1

Tidak dapat dinafikan Farizal merupakan penjaga gol No.1 negara buat masa ini.

Bakal berusia 36 tahun pada penghujung Jun ini, Farizal dianggap sebagai salah seorang penjaga gol veteran yang kaya dengan pengalaman beraksi di pentas saingan tertinggi antarabangsa.

Mengambil kira atmosfera dan harapan peminat bola sepak di seluruh negara untuk pasukan negara melepas pusingan kelayakan Piala Asia yang berlangsung di halaman sendiri ini, maka tidak hairanlah mengapa Kim Pan-gon terus menyandarkan jersi No.1 kepada Farizal.

Faktor pengalaman dan harapan tinggi untuk Malaysia layak secara merit ke Piala Asia sudah cukup untuk menjadi justifikasi untuk menjadikan Farizal penjaga gol No.1 Harimau Malaya.

Data terkini

Bagaimana pun ini tidak bermakna pasukan negara akan ketandusan bakat penjaga gol berkualiti pada masa hadapan.

Berdasarkan data terkini yang dikongsi oleh Data Sukan, untuk saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada musim ini, selain daripada Farizal, tiga lagi penjaga gol yang menunjukkan kualiti yang baik adalah Khairulazhan Khalid (Selangor FC), Kalamullah (PJ City FC), dan Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC).

Berdasarkan data tersebut, tidak dinafikan Farizal masih lagi penjaga gol terbaik berdasarkan jumlah gol yang membolosi gawang JDT pada musim ini.

Melepaskan hanya tiga gol sepanjang musim setakat ini, Farizal bagaimana pun beraksi dengan barisan pemain pertahanan yang lebih ampuh berbanding penjaga gol lain.

Kenyataan ini adalah berdasarkan jumlah percubaan yang dilakukan oleh lawan yang terhad kepada 10 percubaan, danĀ  data Expected Conceded (kemungkinan untuk dibolosi) sebanyak 2.5 kali.

Syihan Hazmi paling menyerlah

Di kalangan empat penjaga gol yang disenaraikan, data yang dimiliki oleh Syihan Hazmi adalah yang paling menyerlah.

Walaupun dibolosi tujuh gol sepanjang musim setakat ini, Syihan berhadapan jumlah percubaan yang lebih banyak iaiti sebanyak 37 kali.

Malah penjaga gol berusia 26 tahun itu turut memiliki purata menyelamat paling tinggi di kalangan empat penjaga gol tersebut dengan peratus menyelamat 81%.

Kesimpulan

Berdasarkan data di atas, kita boleh simpulkan Malaysia tidak akan ketandusan bakat penjaga gol pada masa hadapan.

Farizal mungkin penjaga gol No.1 pada hari ini. Tetapi dengan adanya Syihan, Khairulazhan, dan Kalamullah, ini bermakna pasukan negara masih ada pilihan penjaga gol untuk masa hadapan.

Apa-apa pun buat masa ini, pasukan negara terutamanya Farizal harus mengembalikan fokus untuk perlawanan menentang Bangladesh.

Harus diingat, perjuangan belum selesai. Dan misi kita untuk ke Asia masih lagi menyala. Teruskan perjuangan Harimau Malaya!

Kongsi artikel ini