Dari Liga Malaysia Ke Premier League, Bekas Juruanalisis JDT Sertai Brentford FC

Haydee Agras pernah mendapat perhatian penyokong bola sepak Malaysia sebelum ini kerana amat jarang sekali saingan bola sepak di negara ini menampilkan seorang wanita sebagai ‘orang kuat’ di sebalik tabir pasukan.

Dan peranan Haydee Agras di kalangan staff kejurulatihan JDT juga sebenarnya bukan calang-calang tugas.

Beliau merupakan seorang penganalis yang bertanggungjawab membantu barisan kejurulatihan pasukan menilai kekuatan dan kelebihan lawan, selain kemampuan pasukan sendiri.

Terbaru bekas juruanalisis JDT, Haydee Agras kini sah menyertai kelab Premier League, Brentford FC atas kapasiti dan tanggungjawab yang sama.

Perkara itu dikongsi sendiri oleh Haydee melalui perkongsian di Instagram beliau sebentar tadi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Haydée Agras (@haydeeagras)

“Saya bermula berjalan dengan mengejar bola dan kini ia terus membawa saya mengelilingi dunia,” tulis Haydee.

“Pada bulan Januari ini saya akan memulakan pengembaraan baharu sebagai juruanalis di Brentford FC,”

Haydee menyertai JDT pada 2019 sebagai juruanalisis pada era Benjamin Mora bergelar pengendali.

Bagaimanapun selepas sebulan Mora melepaskan peranannya bersama skuad Harimau Selatan pada Julai tahun lalu, Haydee turut mengumumkan dirinya membawa haluan baru.

Perkhabaran Haydee meninggalkan JDT dipercayai berkait rapat dengan perubahan struktur kejurulatihan yang berlaku di JDT pada ketika itu.

Selepas meninggalkan peranannya bersama juara Liga Super Malaysia sembilan kali berturut-turut itu, Haydee kemudiannya ke Sepanyol.

Di Sepanyol, Haydee dilamar salah sebuah stesen radio terbesar di Sepanyol, La Cadena SER untuk membuat liputan dan analisis perlawanan La Liga.

Sebelum bergelar penganalisis di dalam bola sepak, Haydee sebelum ini turut pernah bergelar pemain futsal wanita profesional.

Kongsi artikel ini