Dari Form 3 Saya Tinggalkan Kampung – Luahan Azizulhasni Awang Pemenang Pingat Perak Olimpik Tokyo 2020

Datuk Azizulhasni Awang kelihatan tidak dapat membendung air matanya semasa ditemubual oleh wartawan dari Astro Arena , setelah beliau mencipta rekod baharu memenangi pingat Perak dalam acara Keirin lumba basikal di perlumbaan akhir.

Anak jati Dungun , Terengganu ini bersaing dengan pelumba dari Belanda , Harrie Lavreysen penyandang dunia yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila pelumba Britain , Jason Kenny meraih pingat emasnya sekaligus mengekalkan kejuaraan semenjak Olimpik Rio 2016.

Strategi Jason Kenny menampilkan corak strategi berbeza dalam final itu dengan memecut meninggalkan kelompok pelumba dan terus membuat kayuhan pantas di tiga pusingan terakhir sebelum melintasi garisan penamat yang membawanya memenangi pingat emas Olimpik untuk Great Britain.

“Masa saya kayuh tadi saya teringatlah. Saya teringatkan anak-anak saya di Melbourne. Saya teringat wife saya yang tinggal sorang. Saya tinggal mak saya , ayah saya daripada umur saya form three saya tinggalkan kampung. Saya tinggal mak saya. Mak saya tinggal sorang-sorang. Setiba flight di Tokyo , saya dapat tahu ayah saya masuk hospital.

“Adik beradik saya cakap Azizul , just fokus for Olimpik sahaja. Jangan fikir ayah. Ayah saya kena minor stroke. Saya takde option. Saya baik fikirkan tanggungjawab saya untuk NEGARA.” luahnya kepada wartawan yang cukup sebak pada waktu itu.

Kejayaan meraih gangsa lima tahun lalu menjadikan Datuk Azizulhasni Awang pilihan utama untuk muncul pemenang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo dan beliau menepati ramalan mara ke pusingan akhir basikal trek acara Keirin yang tiada masalah dihadapi olehnya pada pusingan awal.
Pencapaiannya dalam Olimpik Tokyo 2020 wajar dipuji oleh semua pihak dan terus memberikan sokongan kepada pelumba basikal terbaik negara itu meskipun terpaksa berpuas hati dengan perak kerana Jijoe telah banyak berkorban dari masa bersama keluarga dan berjauhan dari ibubapanya untuk menghadiahkan sebutir pingat kepada Malaysia.
“Saya telah buat yang terbaik untuk semua. Saya buat yang terbaik untuk mereka untuk rakyat Malaysia dan of course untuk sukan negara kita”. tambahnya lagi.
Dalam upacara penyampaian pingat kemenangan kepada ketiga-tiga pelumba , The Pocket Rocket Man juga menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan mengangkat juara Olimpik dan juara dunia ini bersama dengan Lavreyse. Ini menunjukkan kesungguhan mereka bersaing secara sihat dalam sukan yang dicintai oleh mereka dan terus menjadi sahabat baik di dalam mahupun di luar trek.
Tahniah dan syabas kepada Datuk Azizulhasni Awang. Anda kebanggan rakyat Malaysia tanpa mengenal bangsa dan agama.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email