Daniel Ting Dilaporkan Bakal Kembali Ke Liga Malaysia Bersama Kelab Di Selatan Tanah Air

Setelah lama menghilang dan mendiamkan diri daripada kancah bola sepak Liga Malaysia, nama Daniel Ting kini kembali hangat menjadi sebutan di jendela kedua perpindahan Liga Malaysia.

Pemain kacukan Malaysia-England itu sebelum ini mencipta misteri kepada peminat bola sepak tempatan apabila menghilang dan gagal melaporkan diri sebelum saingan musim ini bermula.

Faktor peribadi dikatakan sebagai sebab mengapa pemain itu enggan kembali di Malaysia dan kekal di England pada ketika itu.

Akhirnya sebab utama Daniel Ting enggan kembali ke negara ini dan meneruskan aksi bersama KL City didedahkan kerana keengganannya menerima suntikan vaksin Covid-19.

Perkhabaran terbaru

Perkhabaran terbaru menyatakan Daniel bakal kembali beraksi di saingan Liga Malaysia, tetapi bukan bersama KL City setelah kontrak beliau bersama kelab itu sebelum ini telah ditamatkan.

Wartawan The Star, T.Avineshwaran melalui ciapan yang dilakukannya pada hari ini melaporkan Daniel bakal menyertai sebuah kelab di selatan tanah air.

Namun demikian, tidak dapat dipastikan kelab manakah yang dimaksudkan oleh Avineshwaran dengan spekulasi mengaitkan Daniel bakal ke JDT juga tidak pernah padam sejak pemain itu meninggalkan KL City.

Kebetulan atau tidak pada awal bulan ini Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards turut mengumumkan kelab itu bakal menandatangani empat pemain baharu – termasuk dua pemain tempatan.

Adakah Daniel Ting bakal menjadi salah seorang daripada pemain yang akan didaftarkan sebagai pemain tempatan oleh JDT pada jendela perpindahan ini?

Ia adalah spekulasi yang masuk akal mengambil kira JDT memerlukan seorang pemain di posisi bek kiri untuk memberi saingan dan cover-up kepada Corbin Ong.

Jika spekulasi ini benar, ini bermakna Daniel akan kembali menyertai JDT buat kali kedua sepanjang kariernya.

Sepanjang dua musim di JDT pada 2016 dan 2017, beliau hanya diturunkan bersama JDT II.

Daniel turut pernah menyertai Negeri Sembilan secara pinjaman sebelum ke PKNS FC.

Kongsi artikel ini