Cristiano Ronaldo: Bukan Psikiatrik, Tetapi ‘Super Human’ Yang Punyai Obsesi Kepada Kejayaan

“Saya bukan seorang lelaki gila (psikiatrik). Saya tidak obses dengan latihan. Saya hanya obses kepada kejayaan dimana ia adalah perkara berlainan,” ujar Cristiano Ronaldo kepada SPORTbible.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu berkata demikian ketika melakukan promosi kepada produk wangian jenama CR7, ‘Play It Cool.’

Ketika itu, Ronaldo sempat memberi penjelasan kepada tanggapan ramai bahawa beliau sangat obses kepada latihan.

View this post on Instagram

Charging…🔋💪🏻

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano) on

Empayar CR7

Cristiano Ronaldo hampir menjuarai kesemua pertandingan yang disertainya – kecuali Piala Dunia. Karier selama 17 tahun beliau dihiasi dengan pelbagai rekod peribadi.

Sukar untuk membayangkan bilakah pemain yang mencecah usia genap 35 tahun pada hari ini akan bersara sebagai pemain profesional.

Sekiranya bersara sekalipun, legasi Ronaldo pasti akan disambung di luar padang, iaitu dalam bisnes yang mulai beliau ceburi sejak beberapa tahun yang lalu.

“Saya masih sayangkan bola sepak. Saya suka menghiburkan penyokong dan peminat Cristiano. Jangan peduli pasal usia, ia adalah mengenai mentaliti,” jelas beliau ketika bercakap kepaa wartawan dalam satu temuramah di Turin.

“Sejak lima tahun yang lalu, saya mulai menikmati kehidupan di luar bola sepak. Siapa tahu apa yang akan berlaku dua atau tiga tahun lagi?

Antara produk yang telah dibangunkan di bawah jenama Cristiano Ronaldo sebagai model bisnes masa depan adalah pakaian, kasut, wangi-wangian, agensi digital, restoran, gimnasium dan perhotelan.

Bukan kerana wang

Buat masa sekarang Ronaldo menumpukan bisnes dan karier bola sepak beliau secara berselang seli.

Namun apabila perseteruan dengan Lionel Messi tamat satu hari nanti, bisnes tampak seperti platform baharu untuk Ronaldo melepaskan gian mengejar kejayaan.

Tiger Woods, LeBron James dan Roger Federer adalah antara atlet dunia yang telah diiktiraf sebagai ahli sukan terbaik dalam disiplin masing-masing dan turut aktif di membina bisnes.

View this post on Instagram

Morning Workout💪🏼

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano) on

Wang bukanlah perkara yang Ronaldo mahu kejar. Apa yang telah dijana pada hari ini sudah cukup untuk membiayai kehidupan beliau sekeluarga untuk beberapa generasi seterusnya.

Tetapi di luar bola sepak, Ronaldo tetap mahu membina sejarah. Untuk menjadi yang terbaik sepanjang zaman, dan untuk menjadi G.O.A.T yang tidak terkalah.

Nilai pasaran Ronaldo

Kapten skuad kebangsaan Portugal itu kini masih memiliki kontrak bersama Juventus sehingga 2022. Beliau berusia 37 tahun ketika kontrak beliau tamat.

Jika Ronaldo memutuskan sudah sampai masanya merobek pertahanan lawan, maka pemain dari Madeira ini akan mempergunakan sepenuhnya nilai pengaruh yang dimilikinya di media sosial untuk menghasilkan lebih banyak keuntungan.

Kerendahan hati itu memikat hati, tetapi keyakinan itu mendatangkan keuntungan. Itulah yang mahu ditampilkan oleh Ronaldo melalui imej yang beliau miliki.

Dari cara meraikan gol, obsesi kepada kejayaan individu, mahupun ketika tidak menghadiri majlis anugerah seperti orang yang tidak menerima kekalahan – itu menjadikan beliau seorang ‘marketer’ yang bijak memasarkan dirinya.

Data dari Jookit – sebuah platform analitik digital – mendedahkan pengikut Ronaldo di media sosial (Facebook, Instagram dan Twitter) adalah yang paling ramai di kalangan ahli sukan seluruh dunia.

Pada enam bulan pertama 2019, Ronaldo berjaya menarik 887.2 juta interaksi merentasi kesemua platform media sosial miliknya.

Siapakah yang terhampir untuk bersaing dengan Ronaldo? Jawapannya adalah Messi. Tetapi kurang separuh dari apa yang Ronaldo mampu hasilkan iaitu 361.1 juta interaksi.

Di Instagram, Ronaldo adalah manusia paling berpengaruh di dunia dengan 185 juta pengikut. Jumlah tersebut jauh lebih ramai daripada gabungan pengikut media sosial 20 pasukan di EPL.

Hooper HQ berkata apabila anda mempunyai pengikut yang lebih ramai dari populasi di seluruh Rusia (145 juta pendudu), anda berhak menuntut £780,487 untuk setiap muat naik yang dilakukan.

Dikejar jenama global

Instagram milik Ronaldo misalnya mempromosi pelbagai jenis perkara daripada video streaming sehingga pelbagai jenis teknologi.

Maka tidak hairanlah Ronaldo dikejar oleh pelbagai jenama global yang mahukan kerjasama. Nike adalah jenama terbesar yang memberikan pendapatan kepada Ronaldo dengan kontrak sepanjang hayat mencecah nilai $1billion pada 2016.

“Saya bukan mahu meniru sesiapa,” kata Ronaldo.

“Anda harus sentiasa menjadi diri sendiri sepanjang masa. Tetapi anda boleh mengambil sedikit contoh dari setiap perkara yang baik.

“Bukan sahaja daripada bola sepak, tetapi juga dari sukan-sukan lain. Atlet terbaik mempunyai persamaan dari segi gaya kerja.

“Malah CEO syarikat terbesar sentiasa bersemangat dan bekerja keras untuk mencapai impian mereka,” ujar Ronaldo yang mensasarkan untuk menjadi CEO jenama Cristiano Ronaldo yang berjaya pada masa depan.

Penutup

Bisnes bukan satu bidang yang mudah. Ramai pemain bola sepak profesional seluruh dunia menceburkan diri dalam bidang ini, akhirnya hanya gulung tikar.

Tekanannya mungkin berbeza dengan apa yang Ronaldo biasa alami ketika aksi di tengah padang.

Tetapi itu adalah Ronaldo. Beliau obses kepada kejayaan. Beliau mahu berjaya dalam setiap apa yang dilakukannya. Bukan sahaja berjaya, tetapi tampil sebagai yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Selamat Hari Jadi ke-35 Cristiano Ronaldo! Semoga impian mu menjadi kenyataan.

 

Kongsi artikel ini