COVID-19: FAM Bakal Terima Bantuan Dana RM2.1 Juta Daripada FIFA

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan mengeluarkan dana berjumlah £121 juta, atau bersamaan dengan RM652.2 juta untuk membantu anggota badan gabungan berhadapan dengan kesan ekonomi akibat penularan wabak yang menjejaskan kesihatan global.

Badan bola sepak dunia itu berkata setiap 211 badan gabungan, termasuk FAM akan menerima £404,000 atau bersamaan dengan RM2.1 juta dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Presiden FIFA Gianni Infantino berkata ia adalah langkah pertama dalam pelan jangka masa panjang untuk membantu ahli gabungan yang bergelut dengan masalah kewangan akibat wabak tersebut.

“Wabak tersebut telah menyebabkan cabaran yang tidak diduga sama sekali oleh keseluruhan komuniti bola sepak,” kata Infantino.

“Ia adalah tugas FIFA untuk memberikan sokongan terutama kepada mereka yang amat memerlukan.

“Ia bermula dengan memberikan bantuan kewangan kepada ahli badan gabungan, yang kebanyakkannya berhadapan situasi kewangan yang sukar.

“Ini adalah langkah pertama dalam pelan yang dirancang untuk memudahkan beban kewangan yang dihadapi [oleh badan gabungan], sebagai respon kepada keadaan semasa yang dirasai oleh komuniti bola sepak di seluruh dunia.”

Menurut FIFA lagi, wang yang diagihkan itu adalah belanjawan untuk tahun 2019 dan 2020.

Pada kebiassaannya, persatuan hanya akan menerima bayaran penuh setelah memenuhi setiap spesifikasi dan kriteria yang ditetapkan, bagi bola sepak lelaku, wanita, dan pertandingan akar umbi.

Persatuan Bola Sepak Inggeris (The FA) sebelum ini pernah berkata akan menjangkakan kerugian mencecah £150 akibat wabak tersebut.

Beberapa kelab utama turut melakukan pemotongan gaji sehingga tiga bulan, termasuk Ketua Jurulatih The Three Lions, Gareth Southgate.

Situasi di Malaysia tidak jauh bezanya. Beberapa ahli gabungan FAm telah menyuarakan supaya saingan pada musim ini dibatalkan terus dan dimulakan semula pada tahun hadapan.

FAM bagaimanapun masih optimis saingan Liga Malaysia 2020 masih lagi boleh bersambung, walaupun Menteri Kanan (Kluster & Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perlawanan bola sepak di negara ini masih tidak dibenarkan walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada kemudian hari.

 

Kongsi artikel ini