‘Chipmunks Malaysia’ Kini Pasang Misi Padam Badi Separuh Akhir Di Kejohanan Badminton Dunia BWF

Beregu utama badminton negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Jepun, sebentar tadi.

Pasangan regu yang digelar ‘Chipmunks’ di dalam dunia badminton itu menewaskan gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seong Jae 21-18, 21-16 dalam saingan selama 40 minit di Tokyo.

Kini pasangan ranking nombor enam dunia harus memadam badi sering tersingkir di separuh akhir sekiranya mengimpikan kejuaraan milik mereka dalam penyertaan kali keempat di Kejohanan Badminton Dunia BWF.

Gandingan Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 seakan seperti terkena ‘sumpahan separuh akhir’ apabila tewas enam perlawanan peringkat separuh akhir sepanjang tahun ini.

Ini termasuklah ketika saingan individu di Sukan Komanwel, Birmingham yang lalu.

Dalam pertarungan sengit dua set sebentar tadi, Aaron-Wooi Yik menampilkan ketenangan untuk menewaskan regu No.11 dunia dari Korea Selatan 21-18, 21-16.

Kemenangan ini bernakna Aaron-Wooi Yik  berjaya mengekalkan rekod bersih kemenangan ke atas pasangan Korea Selatan itu, dengan empat kemenangan berturut-turut.

“Kami berjaya menghasilkan pukulan berkualiti pada set pertama untuk memberi tekanan kepada regu dari Korea, dan kami tampil tenang sepanjang perlawanan.

“Kami kemudiannya bertambah yakin selepas menang set pertama dan memastikan momentum tersebut diteruskan di dalam set kedua,” kata Wooi Yik.

Kejayaan terbaru Aaron-Wooi Yik ini bermakna mereka akan pulang sekurang-kurangnya dengan pingat gangsa untuk menyamai pencapaian Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada tahun lalu.

Tetapi pasangan beregu utama negara itu pasti mahu pergi lebih jauh di dalam kejohanan ini.

Berikutan kemenangan tersebut, Aaron-Wooi Yik bakal bertemu  pasangan India yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel lalu, S. Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir.

Regu dari India itu turut mara ke separuh akhir selepas mengejutkan pasangan No.2 dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebentar sahaja tadi.

Di atas kertas, Aaron-Wooi Yik pasti memilih untuk bertemu pasangan Rankireddy-Chirag kerana memiliki rekod cemerlang 4-0 menentang regu dari India itu.

Sebaliknya ia pasti lebih sukar menentang pasangan Jepun yang beraksi di hadapan penonton sendiri. Aaron-Wooi Yik memiliki rekod 2-5 jika menentang Hoki-Kobayashi dan tewas dalam tiga pertemuan berturut-turut sebelum ini.

Kongsi artikel ini