Chelsea Sanggup Beri Diskaun Besar, Buat Sistem Barter Untuk Pastikan Lukaku Ke Inter

Chelsea dilaporkan sanggup memberikan jumlah diskaun yang besar untuk membenarkan Romelu Lukaku menyertai Inter Milan pada musim panas ini.

Penyerang antarabangsa Belgium itu terdesak untuk kembali menyertai Inter selepas musim serba tidak menjadi bersama kelab London itu pada musim lalu.

Chelsea memecah rekod perpindahan kelab bernilai £97.5 juta untuk mendapatkan bekas pemain mereka itu dari Inter pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Namun Lukaku gagal memenuhi harapan yang disandarkan kepadanya setelah hanya meledak lapan gol daripada 26 penampilan Premier League sepanjang musim 2021/22.

Pemain itu turut bersengketa dengan pengurus pasukan, Thomas Tuchel apabila secara terbuka mengkritik taktikal pengendali dari Jerman itu melalui temubual bersama Sky Italia pada Disember lalu.

Penyerang berusia 29 tahun itu kemudiannya menjelaskan pendirian untuk meninggalkan Chelsea dan kembali menyertai Inter pada musim panas ini.

Masalahnya kini ialah Inter tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menjana perpindahan pemain yang menerima bayaran £325,000 seminggu di Stamford Bridge itu.

Pinjaman juga sukar

Perpindahan secara pinjaman turut dilaporkan berhadapan dengan pelbagai kompilasi kewangan.

Laporan daripada Goal mendedahkan Chelsea meminta yuran perpindahan secara pinjaman sebanyak £21 juta.

Tetapi kerana terdesak untuk memastikan pemain itu keluar daripada Stamford Bridge, Chelsea dikatakan sanggup menerima bayaran sebanyak £10 juta sahaja untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Tawaran daripada Inter bagaimanapun setakat ini hany berjumlah £6 juta. Namun demikian Sky Sports melaporkan kelab Itali itu tetap yakin untuk mendapatkan pemain yang pernah menghasilkan 24 gol daripada 36 penampilan bersama mereka untuk menjuarai gelaran Serie A pada musim 2020/21 di bawah kendalian Antonio Conte.

Chelsea mungkin sanggup merendahkan lagi jumlah yurn perpindahan secara pinjaman seperti yang dipinta Inter. Tetapi ini bermakna Inter perlu berbelanja lebih besar untuk membayar pendapatan Lukaku selepas ini.

Pertukaran pemain

Chelsea juga dikatakan mahu pertukaraan pemain dilibatkan di dalam urusniaga untuk membenarkan perpindahan Lukaku ke San Siro menjadi kenyataan.

The Blues dilaporkan mengintai khidmat pemain pertahanan, Denzel Dumfries untuk menggantikan Cesar Azpilicueta yang berkemungkinan akan menyertai Barcelona.

Lukaku sentiasa menjadi masalah buat Chelsea sejak kembali menyertai kelab itu.

Penyerang itu dilihat sentiasa bergelut dengan corak permainan yang diterapkan Tuchel dan pada musim lalu lebih kerap memanaskan bangku pemain simpanan.

Kongsi artikel ini