Bundesliga: Dokumen Bocor Dedah Pemain Wajib Pakai ‘Mask’?

Pemain yang beraksi di Jerman berkemungkinan wajib menggunakan topeng muka jika saingan Bundesliga dimulakan kembali dalam masa terdekat.

Sebelum ini Liga Bola Sepak Jerman (DFL)) mengumumkan Bundesliga sudah bersedia untuk disambung kembali pada 9 Mei, jika lampu hijau diberikan oleh pihak kerajaan.

Dan menurut satu dokumen dari pihak kerajaan melalui Kementerian Tenaga Kerja yang didedahkan oleh Der Spiegel, antara syarat untuk kelulusan itu diberikan adalah supaya setiap pemain menggunakan topeng muka.

Dokumen yang sama turut berkata pemain dan jurulatih yang terlibat untuk meneruskan kempen pada musim ini harus dikuarantin sehingga tamatnya saingan.

DFL sebelum ini menetapkan saingan Bundesliga akan bermula kembali pada 9 Mei. Dan aksi juga harus berlangsung dalam stadium tertutup dengan kehadiran tidak melebihi 300 orang, termasuk pemain, jurulatih, anggota badan penyiar serta petugas perlawanan.

Keputusan mengenai penyambungan semula bola sepak di Jerman akan ditentukan oleh Kaunselor Angela Merkel selepas pertemuan dengan menteri-menteri pada 30 April akan datang.

Buat masa ini kebanyakan kelab bola sepak di Jerman sudah pun memulakan kembali latihan sebagai persediaan untuk kembali beraksi dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun idea untuk menggunakan topeng muka adalah satu perkara yang berkemungkinan akan mendapat bantahan, mengambil kira intensiti saingan yang kompetetif di kalangan pemain.

Menurut laporan pakar dari Singapura sebelum ini, pemakaian topeng muka ketika melakukan aktividi sukan berintensiti tinggi akan menambahkan risiko serangan jantung.

Namun persoalan utama sebenarnya adalah adakah wajar bola sepak pada musim ini disambung kembali?

 

Kongsi artikel ini