“Bukan Pengakhiran Era Mat Don” – Akui Menangis Saat Digugurkan, Liridon Dedah Perkara Di Sebalik Pengugurannya

Digugurkan daripada skuad Harimau Malaya yang berjuang untuk layak ke Piala Asia 2023 pada awal Jun lalu, pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mengakui ia sebenarnya situasi yang sukar apabila beliau digugurkan oleh Ketua Jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon.

Setelah berdiam diri dan hanya meluahkan kesedihan apabila berkongsi foto Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di IG Story selepas digugurkan, Liridon kini akhirnya membuka suara mengenai penguguran tersebut.

Liridon buka bicara

Bagi Liridon yang menerima taraf sebagai pemain naturalisasi pada Mei 2020 yang lalu, tidak ramai yang tahu mengenai keadaan dirinya sehingga terpaksa digugurkan daripada pasukan negara.

“Terdapat banyak soalan, tetapi belum ada penjelasan [mengenai penguguran daripada skuad negara],” ujar pemain itu membuka bicara di dalam satu kenyataan di IG Story beliau.

“Sekarang saya akan bercakap. Ia amat sukar bagi saya untuk tidak beraksi di pusingan kelayakan Piala Asia [yang lalu].

“Apabila jurulatih memaklumkan saya perkhabaran tersebut, saya menanis dan sedih kerana pada saya ia semuanya untuk menang dan mencipta sejarah untuk negara [Malaysia] yang saya cintai, dan saya sanggup matin untuknya.

“[Sebenarnya] saya mengalami sedikit kecederaan ketika kem latihan menyebabkan saya gagal tampil seperti yang diharapkan.

“Maka semua pihak membuat keputusan agar saya pulih terlebih dahulu dan kembali lebih kuat selepas itu.

Janji Mat Don

Liridon tampil sebagai pemain naturalisasi kedua untuk skuad Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh di bawah program naturalsasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas melakukan penampilan pertama di pentas antarabangsa bersama pasukan negara dalam perlawanan persahabatan menentang Bahrain pada tahun lalu, gol pertama pemain itu pula hadir ketika pasukan negara tewas 1-2 kepada Singapura di Kejohanan FAS Tri-Nations pada Mac lalu.

“Saya berjanji akan kembali lebih kuat dan akan mencuba sedaya upaya untuk berada di dalam skuad kebangsaan selepas ini,” tambah beliau lagi.

“Saya sentiasa berusaha keras setiap hari [ketika kem latihan] tetapi ia tidak berhasil kerana kecederaan yang ramai tidak tahu mengenainya.

“Saya korbangkan kesihatan diri untuk memberikan segalanya untuk negara ini apabila mereka mengharapkannya tetapi malangnya saya tidak mampu.

“Tetapi ini bukan pengakhiran untuk era Mat Don. Saya tahu kemampuan diri dan sedar diri ini mampu melakukannya.

“Saya sayangkan Malaysia, saya sayangkan semua rakan sepasukan dan saya amat hargai peluang menyarung jersi pasukan negara.

“Saya membaca banyak mesej yang dihantar kepada saya dan ada diantaranya sangat positif. Ini terus memberikan saya harapan untuk kembali lebih kuat selepas ini.

“Saya sayangkan anda semua [Malaysia].”

Di mana masa depan Mat Don?

Selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama Odisha FC di Liga Super India (ISL) pada musim lalu, masa depan Liridon Krasniqi masih lagi menjadi tanda tanya.

Pemain itu kini dipercayai masih berada di luar negara dan masih memiliki kontrak bersama kelab asalnya, JDT.

Buat masa ini, satu lagi tempoh pinjaman kepada pasukan luar negara dilihat sebagai satu lagi kemungkinan buat Liridon.

Kongsi artikel ini