“Bukan Pemain World Class” – Park Hang-seo Tidak Mahu Kenyataan Ayah Son Heung-min Jadi Kontroversi

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo enggan kenyataan ayah kepada pemain sensasi Korea Selatan, Son Heung-min dianggap sebagai satu kontroversi oleh media.

Melalui temubual oleh media Korea Selatan, Son Wonng-jung dianggap memberikan kenyataan kontroversi kerana bertanggapan anaknya itu belum lagi mencapai tahap pemain world class.

“Apa yang dikatanan oleh Son Woong-jung mengenai Son Heung-min datang daripada hati seorang ayah,” kata Park Hang-seo.

“Ibu bapa mempunyai cara yang berbeza mendidik anak mereka. Saya berpendapat kenyataan itu lebih kepada perasaan rasa rendah diri dan kesungguhan [untuk menjadi yang terbaik].”

Melalui temubual bersama media Korea Selatan pada minggu lalu, Woong-jung berkata anaknya itu belum lagi mencapai tahap pemain berkelas dunia.

“Sonny [Son Heung-min] perlu bekerja lebih keras. Beliau harus beraksi bersama antara kelab terbaik dunia. Buat masa ini, beliau tidak memiliki semuanya itu,” kata ayah kepada bintang Tottenham itu.

Kenyataan Woong-jung kemudiannya dikritik oleh media barat dan penyokong Tottenham. Ramai berpendapat ayahnya itu terlampau konservatif dengan rejim yang ketat.

Woong-jung adalah antara individu awal yang melatih bakat Son Heung-min sejak dari zaman kanak-kanak sehingga mampu berjaya menjadi antara pemain bola sepak terbaik Asia pada hari ini.

Bagi Park Hang-seo, orang luar tidak seharusnya menghakimi cara orang Korea membesarkan anak mereka.

“Saua tidak pasti apa sebenarnya yang difikirkan oleh Son Woong-jung, tetapi kenyataan itu lahir daripada hati seorang ayah. Orang luar tidak boleh sewenang-wenangnya melahirkan persepsi,” jelas pakar taktikal Vietnam itu.

Park Hang-seo juga menjelaskan hubungan beliau kepada media Vietnam mengenai hubungannya dengan ayah Son Heung-min.

“Ramai di Vietnam bertanya jika saya mengenali Son Heung-min dan hubungan dengan ayahnya.

“Sebenarnya saya tidaklah pernah berhubung rapat dengan Son Woong-jung. Dan untuk Sonny, jika beliau berjaya memenangi anugerah kasut emas di Premier League, sukar untuk menafikan pemain itu adalah pemain berkelas dunia,” tambah Park Hang-seo.

Sejak dari kecil, Woong-jung sememangnya mengamalkan disiplin yang tinggi terhadap anaknya.

“Setiap hari saya akan berlatih bola sepak selama empat jam,” kata Son Heung-min ketika mengimbau kenangan bersama ayahnya.

“Setiap kali latihan, saya keletihan sehingga melihat bola yang sebiji menjadi tiga biji bola, dan ayah saya amat marah.”

Kongsi artikel ini