Bukan Hanya Cheng Hoe Atau Pan-gon, Mora Bagi Kredit Kepada TMJ Sebagai Individu Yang Berjaya Ubah Bola Sepak Malaysia

Bagi Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora kejayaan pasukan negara melayakkan diri ke Piala Asia 2023 bukan sahaja kerana sumbangan pengendali Kim Pan-gon dan Tan Cheng Hoe yang membentuk pasukan tersebut sejak dari mula.

Walaupun bukan jurulatih yang membawa Malaysia ke Piala Asia 2023, Tan Cheng Hoe adalah Ketua Jurlatih skuad negara yang membimbing pasukan itu sejak pusingan pertama kelayakan lagi.

Pan-gon dan Cheng Hoe

Kim Pan-gon pula tampil sebagai jurulatih yang membimbing pasukan negara di pusingan ketiga kelayakan.

Selepas Malaysia mengesahkan slot ke Piala Asia, deretan pujian oleh pemerhati bola sepak tempatan terhadap Kim Pan-gon.

Kemampuan jurulatih dari Korea Selatan itu mengubah corak permainan dengan variasi taktikal berdasarkan keperluan pasukan berjaya menghasilkan keputusan positif untuk pasukan negara.

Tidak kurang juga yang tidak melupakan jasa dan sumbangan Tan Cheng Hoe yang membentuk pasukan tersebut sejak dari awal yang kini menjadi nadi skuad yang dikendalikan oleh Pan-gon.

Selidiki lebih dalam

Bagi Benjamin Mora pula kejayaan tersebut turut harus dipandang secara lebih mendalam.

Bagi beliau, individu yang benar-benar bertanggungjawab mengubah wajah bola sepak Malaysia sehingga berjaya melayakkan diri ke Piala Asia buat kali pertama di dalam tempoh 42 tahun secara merit adalah Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

“Terbangkan dron anda lebih tinggi; inilah orang yang telah mengubah bola sepak di Malaysia selama sedekad yang lalu,” kata Mora sambil memuat naik foto Tunku Ismail.

“Kami jurulatih hanyalah pelaksana dalam visi yang lebih besar dan projek yang lebih besar; kredit kepada meraka yang layak menerimanya! Evolusi Minda, Mematahkan Paradigma Lama, Kemajuan Falsafah.”

Sumbangan TMJ dan JDT

Sumbangan TMJ kepada bola sepak negara sememangnya tidak dinafikan.

Di sidang media selepas perlawanan malam tadi, Pan-gon turut meluahkan ucapan terima kasih atas sumbangan Baginda kepada bola sepak Malaysia selama ini.

Daripada senarai 23 pemain yang menganggotai skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan kali ini, 13 daripada mereka adalah pemain JDT dan 3 daripada mereka adalah bekas pemain pasukan itu.

Antara bintang JDT paling menyerlah di dalam skuad negara sepanjang pusingan kelayakan kali ini adalah Corbin Ong, Arif Aiman, Syameer Kutty, dan Matthew Davies.

Kongsi artikel ini