Bukan Cakap Kosong, TMJ Memang Dah Jumpa Papu Gomez

Perkhabaran JDT bakal mendatangkan bekas bintang Atalanta dan pemain antarabangsa Argentina, Papu Gomez bukan sekadar khabar angin atau ‘sembang kosong’.

Ini kerana pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor turut telah melakukan pertemuan dengan penyerang Sevilla itu baru-baru ini.

Perkhabaran Gomez akan ke JDT pada musim hadapan bermula pada minggu lalu selepas ciapan yang dilakukan TMJ di Twitter ketika membalas persoalan penulis Goal Indonesia, Marco Negeri untuk membawa kembali bekas pemain import, Juan Martin Lucero.

“Saya tidak pasti. Atau mungkin Papu Gomez dari Sevilla. Anda tidak akan tahu [apa akan berlaku]. Sememangnya sudah ada perancangan dilakukan untuk memperkuatkan skuad musim hadapan. Kita akan lihat,” tulis TMJ pada ketika itu.

Dan terkini, TMJ turut berkongsi sebuah foto di IG Story di mana dirinya bertukar jersi Argentina dan baju pasukan POLO JOHOR dengan Papu Gomez.

Walaupun buat masa ini belum ada perkara konkrit, perkongsian tersebut pasti memberi indikasi terdapatnya perbincangan untuk pemain itu beraksi untuk JDT pada musim hadapan.

Walaupun sudah berusia 34 tahun Papu Gomez merupakan salah seorang pemain bola sepak yang memiliki reputasi besar di Eropah, terutamanya di Itali.

Merupakan bekas kapten Atalanta, Gomez dianggap legenda yang membantu membangkitkan kelab itu sehingga berada di kelompok atasan Serie A seperti pada hari ini.

Gomez juga turut memiliki 14 caps bersama negaranya, dan merupakan anggota skuad Argentina yang menjuarai Copa America pada tahun lalu.

Buat masa ini, penyerang Sevilla itu kini sedang memberi fokus untuk membantu kelab Sepanyol itu menghadapi musim La Liga yang baharu, tetapi merupakan salah seorang daripada dua pemain termasuk Fernando Reges yang dikecualikan oleh pengurus pasukan, Julian Lopetegui daripada mengikuti penuh latihan pra musim disebabkan faktor usia kedua-dua pemain.

Kontrak Gomez bersama Sevilla juga hanya akan tamat pada 30 Jun 2024. Sehingga itu, atau hanya dengan penebusan kontrak, Papu Gomez masih kekal pemain Sevilla.

Kongsi artikel ini