Budaya ‘Fan Boy’ Dan ‘Pentaksub’ Punca Pengulas Sukan Diugut?

Pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad mengesahkan dirinya diugut oleh seorang penyokong badminton sebelum bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam.

Perkara itu disahkan oleh beliau sendiri melalui satu muat naik di halaman Instagram miliki beliau.

“Selesai Buat Laporan Polis ekoran ugutan diterima dari salah seorang peminat badminton tanahair,” kata beliau

“Terima kasih @pdrmsia_official IPD Shah Alam.

“Selama satu jam 20 min saya diambil keterangan oleh Inspektor Hadi. Dimaklumkan siasatan akan turut mendapat kerjasama pihak SKMM.

“Kepada sahabat-sahabat yang terus menyokong saya terima kasih, Allah saja yang balas jasa kalian..

“Peguam saya juga sedang mengkaji utk mengambil tindakan undang2 ke atas beberapa lagi akaun IG yang dilihat agak keterlaluan.”

Budaya ‘fanboy’ dan pentaksub

Tatkala antara tujuan sukan adalah untuk mengeratkan silaturahim, tindakan segelintir peminat sukan di negara ini adakalanya sering melampaui batas di dalam komen, terutamanya di media sosial.

Jika dahulu, perkara sebegini sering dihadapi oleh atlet-atlet, kini perbuatan yang dianggap seperti virus itu dilihat semakin menjadi-jadi apabila penggiat media sukan turut terkena tempiasnya.

Perkara ini dipercayai berlaku disebabkan oleh budaya ‘fanboy’ dan ‘pentaksub’ kepada atlet atau pasukan tertentu sehingga sukar menerima kritikan dan pandangan yang berbeza.

PDRM akan siasat

Dalam perkembangan yang sama, pihak polis turut mengesahkan telah menerima laporan daripada pengulas sukan tersebut

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pengulas sukan lelaki itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira jam 1 pagi semalam.

“Pengadu [Hafizal Hamad] menerima mesej melalui laman Instagram “antimediababi” yang berbaur ugutan pada 27 Ogos lalu,” kata Mohd Iqbal kepada Bernama.

“Pengadu membuat laporan polis kerana mesej berkenaan mendatangkan kegusaran kepada dia sekeluarga.

“Antara ayatnya adalah ‘lagi sekali ko (kau) bagi kritikan negatif dkt (dekat) semua atlet Malaysia ko (kau) aku akan kerjakan’ dan ‘ko (kau) buat pesanan maut menanti depan rumah ko (kau)’,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Iqbal turut berkata siasatan awal polis mendapati Hafizal ada menyentuh mengenai prestasi semasa pemain perseorangan negara, Lee Zi Jia yang tersingkir di pusingan awal Kejohana Badminton Dunia BWF dan Terbuka Jepun baru-baru ini di dalam rancangan yang dihostkan oleh pengulas itu sendiri, Nindia Pak Long.

“Pengadu mengesyaki perkara terbabit mungkin mengundang rasa tidak puas hati pihak tertentu,” tambahnya lagi.

“Kes diklasifikasikan mengikut seksyen 507 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia.

“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Hadi di talian 016-2745515,” katanya lagi.

Sudah cukup berpengalaman

Nama Hafizal Hamad sememnangnya begitu sinonim di dalam arena sukan negara kerana penglibatan beliau di dalam arena penyiaran sukan di negara ini.

Kerjayanya di dalam bidang tersebut bermula sejak tahun 2003 bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyampai berita, pengulas sukan dan Ketua Meja Sukan, sebelum menyertai Astro Arena pada  2013.

Sepanjang kerjayanya di dalam bidang penyiaran Hafizal pernah menerima anugerah sebagai Pengulas Sukan Terbaik Seri Angkasa 2011 dan turut dikurniakan Darjah Ahli Mahkota Pahang oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah serta Pingat Khidmat Terpuji oleh TYT Yang DiPertua Negeri Melaka.

Selain bola sepak dan badminton, Hafizal turut pernah menjadi pengulas utama temasya-temasya utama sukan dunia seperti Piala Dunia, Sukan SEA, 4 temasya Sukan Asia, Sukan Olimpik Beijing, Sukan Olimpik Rio, Kejohanan Badminton All England dan Piala Thomas.

Kongsi artikel ini