Bruno Fernandes Beri Amaran Kepada ‘Bakal’ Pemain Baru Man United

Bruno Fernandes memberi amaran awal kepada mana-mana pemain yang bakal menyertai Manchester United selepas ini, bahawa mereka wajib laparkan kejuaraan, sepertimana dirinya yang lapar untuk menang segala-galanya untuk kelab tersebut.

Fernandes menyinar sejak tiba di Old Trafford pada Januari lalu dan dianugerahkan Pemain Terbaik Bulanan Premier League pada Februari.

Penangguhan saingan Liga Perdana Inggeris kerana isu kesihatan merencatkan kejayaan Fernandes buat United buat masa ini.

Tetapi ia buka ilusi mengenai apa yang pemain ini sasarkan bersama United di England.

‘Saya mahu memenangi segala-galanya. Saya lapar untuk menang semua kejuaraan. Saya datang ke Manchester untuk menang, untuk menang kejuaraan, liga, Champions League, semuanya,” ujar Fernandes dalam sesi soal jawab bersama peminat di laman sesawang rasmi kelab.

‘Kita semua tahu potensi yang dimiliki oleh Manchester [United], kerana kita adalah pasukan yang muda dengan ramai pemain muda, tetapi kita memiliki banyak kualiti.

‘Tak kisahlah jika kita adalah pasukan yang muda dan yang lain mempunyai lebih pengalaman, kerana kita juga mempunyai pemain berpengalaman yang mampu membantu pemain muda di sini.

‘Kita [Manchester United] mempunyai campuran untuk apa yang ada sekarang dan juga untuk masa depan. Sudah tenti saya tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.

‘Manchester United adalah sebuah kelab besar dan sudah tentu akan membawa masuk pemain baru pada masa akan datang.’

Dan jika United membawa masuk mana-mana nama besar, Fernandes menegaskan pemain tersebut harus mempunyai keinginan yang sama seperti dirinya dan keseluruhan skuad miliki pada hari ini.

‘Kita sememangnya sudah merupakan pasukan yang besar. Tetapi siapa pun yang akan datang nanti, mereka juga harus datang kerana mahukan kemenangan.’ tambah Fernandes.

‘Hanya fokuskan kemenangan, saya mahukan pemain yang laparkan kejuaraan dan untuk segala sesuatu. Dalam kelompok pemain sekarang, saya dapat merasakan semua pun mahukan kemenangan.’

United telah melalui musim serba tidak menentu di bawah Ole Gunnar Solksjaer, tetapi kedatangan Fernandes berjaya menyeimbangkan lagi keadaan, dan United belum lagi mengalami kekalahan sejak Januari sehingga liga ditangguhkan pada awal Mac.

Sepanjang tempoh itu, United telah merekodkan 8 kemenangan dari 11 perlawanan, dan berjaya menduduki tangga kelima, dibezakan hanya oleh 3 mata berbanding Chelsea untuk slot ke Champions League.

 

Kongsi artikel ini