Brendan Gan Kembali Ketuai Red Giants Malam Ini Selepas Setahun Berehat

Brendan Gan kembali berada di dalam kesebelasan utama Selangor FC untuk mengetuai pasukan itu bagi menghadapi Sarawak United dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam ini.

Sebelum ini kapten Selangor itu terpaksa berehat panjang susulan terpaksa menerima rawatan kerana kanser testis yang dihadapinya.

Beliau disahkan menghidap kanser testis pada thaun lalu dan telah menjalani pembedahan pada bulan Jun yang menyaksikan Brendan terlepas banyak aksi bersama Selangor serta tidak menyertai Harimau Malaya ke saingan Piala AFF 2020.

Beliau kembali menjalani latihan bersama Selangor pada awal musim untuk kembali mencari kecergasan selepas lama tidak beraksi.

Sejak daripada itu pemain kacukan Malaysia-Australia ini tidak pernah memadam harapan untuk kembali berada di dalam kesebelasan utama skuad The Red Giants dan menyambung kembali tugasan yang sekian lama beliau tinggalkan.

“Kami akan ada beberapa perlawanan persahabatan selepas ini, jadi sudah tentu saya berharap dapat turun beraksi bagi mendapatkan semula tahap kecergasan dan memang tidak mudah untuk terus bermain macam itu sahaja,” kata Brendan pada Mei lalu.

“Ia memerlukan strategi dan jika semuanya berada dalam keadaan yang baik, saya memang berharap untuk diturunkan, penting untuk saya dapat balik corak permainan dalam padang, dan selepas itu mungkin berpeluang untuk berikan sesuatu dalam aksi menentang Sarawak United nanti.

“Apa pun, saya hargai sokongan yang sentiasa di belakang saya di mana bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya, tetapi selepas apa yang berlaku, saya sedar ada lagi sesuatu di luar daripada bola sepak yang lagi penting.

“Cuma sekarang, inilah (bola sepak) semangat saya yang saya nak bagi balik dekat penyokong dan untuk membantu kelab ini\.”

Ini bukan kali pertama Brendan Gan berehat panjang daripada bola sepak. Sebelum ini pemain ini pernah mengalami kecederaan ACL sebanyak dua kali, tetapi berjaya mengatasinya dan kembali beraksi.

Kongsi artikel ini