Tan Boon Heong/Koo Kien Kieat Dedah Secara Terbuka Punca Kejatuhan

Jika ada perkara yang Tan Boon Heong ingin ubah ketika karier badminton beliau sedang memuncak satu ketika dahulu, ia pastilah sifat kerendahan hati untuk menurut nasihat.

Dianggap sebagai jaguh pada usia muda, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong digandingkan oleh Rexy Manaiky ketika legenda badminton Indonesia itu bergelar jurulatih pasukan negara.

Kedua-duanya digandingkan pada 2006 pada usia yang dianggap muda. Kien Kiat pada ketika itu berusia 22 tahun, manakala Boon Heong pula berusia 21 tahun.

Pada tahun pertama kedua-duanya digandingkan, Kien Kiat dan Boon Heong sudah pun bergelar juara Terbuka Jepun, pingat emas Sukan Asia pada 2006, sebelum meraih kejuaraan di All England pada tahun berikutnya.

Namun bagi Boon Heong karier badminton beliau dan Kien Kiat sepatutnya boleh pergi lebih jauh lagi sekiranya tidak disebabkan kesilapan diri sendiri.

“Kami menjadi terkenal pada usia yang muda dan pemikiran kami sangat bodoh pada ketika itu. Kami hilang disiplin, jadi besar kepada dan hasilnya prestasi kami pun jatuh. Apabila kami menjadi No.1 dunia, sudah tidak ada pasangan lain di atas kami.

“Jadi kami mula berhenti mendengar nasihat jurulatih [Rexy Manaiky]. Jika satu hari nanti saya menjadi jurulatih, disiplin adalah salah satu perkara yang akan saya tekankan selain daripada kecergasan.

“Saya berpendapat pemain dari Malaysia mempunyai kebolehann, tetapi sukar untuk menang pada saat getir,” kata Boon Heong baru-baru ini kepada Astro Arena.

Kien Kiat turut mempunyai sentimen yang sama dengan bekas pasangannya itu ketika menyentuh mengenai perjalanan karier mereka.

“Kami merasa nikmat kejayaan terlalu cepat tanpa banyak cabaran pada ketika itu. Namun demikian secara peribadi saya tidak pernah mengambil mudah mana-mana kejohanan.

“Walaupun pada ketika kami kalah, saya mahu tewas dengan rasa puas hati. Ia bermaksud bermain dengan sepenuh hati ketika permainan dan memberikan yang terbaik di gelanggang,” ujar beliau.

Kien Kiat bagaimanapun berpendapat kem latihan negara sepatutnya diurus dengan lebih baik pada ketika itu.

“Skuad senior dan junior menjalani latihan secara berbeza pada ketika itu. Saya berpendapat jika kami berlatih bersama, kami mampu mencapai potensi sebenar. Sepatutnya kita saling belajar dari satu sama lain.”

 

Sumber: Stadium Astro

 

Kongsi artikel ini