Bolasepak Adalah Kecintaan Terbesar Dalam Hidup Saya , Diatas Padang Itulah Perasaan Terhebat – Brendan Gan

Kepulangan Kapten Selangor FC Brendan Gan sangat berbaloi dinantikan oleh penyokong Red Giants selepas membantu pasukannya membelasah Sarawak United 7-0 dalam perlawanan Liga Super pada malam tadi.

Malah dia hanya memerlukan 7 minit sahaja bagi jeneral berkarismatik ini menjaringkan gol pertama Selangor menerusi half-volley menewaskan penjaga gol Sarawak United Sharbinee Alwi.

Dan ia sudah pasti memberikan detik indah kepada pemain warisan ini selepas diketepikan selama setahun setelah didiagnosis menghadapi kanser testis pada Jun 2021 lalu.

‘Bolasepak adalah kecintaan terbesar dalam hidup saya dan di atas padang itulah perasaan yang terhebat sekali.’ ujar Brendan Gan ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

‘Bagi saya ia adalah perlawanan yang emosional kepada saya dan keluarga setelah lama tidak dapat beraksi dan memungut tiga mata penuh telah menyelesaikan misi saya. Saya sentiasa memberikan 100% komitmen di atas padang dan akan memungut tiga mata (perlawanan seterusnya)

Pemain kelahiran Sutherland , Australia ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya yang sentiasa menyokong dirinya semasa mengharungi tempoh situasi yang sukar sehingga telah sembuh sepenuhnya.

Kembalinya Brendan Gan ke kancah bolasepak dalam Liga Super dengan aksi yang mencuri tumpuan membuatkan peminat mengharapkan beliau akan kembali ke pasukan kebangsaan selepas kali terakhir aksinya dalam perlawanan bertemu Thailand , kempen kelayakan Piala Dunia pusingan kedua November 2019 ketika Harimau Malaya menang bergaya 2-1 ke atas pasukan Gajah Putih.

Selangor FC kini berada di kedudukan tangga ke-6 dalam MSL dengan pungutan 11 mata dan akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) Johor bagi menghadapi juara bertahan 8 kali Liga Super Johor Darul Ta’zim pada 24 Jun 2022 nanti.

Pertembungan di antara dua kelab gergasi ini sudah pasti ditunggu oleh kedua belah penyokong yang sentiasa hangat dengan pelbagai cerita dan drama dan semuanya itu akan ditentukan di atas padang nanti.

 

 

 

 

 

 

 

Kongsi artikel ini