“Bola Sepak Malaysia Harus Berterima Kasih Kepada TMJ” – Fernando Forestieri

Fernando Forestieri dianggap sebagai nama terbesar di dalam kancah bola sepak Malaysia pada musim ini.

Memiliki pengalaman beraksi bersama beberapa kelab di Serie A dan Premier League, beliau juga merupakan bekas penyerang skuad B-21 Itali.

Seorang pemain yang memiliki kebolehan teknikal dan fleksibel, Forestieri sebenarnya adalah seorang trequartista.

Namun beliau boleh sahaja beraksi sebagai penyerang kedua, atau pun sebagai seorang deep-lying forward di dalam sistem 4-3-3 – sepertimana yang ditampilkannya bersama JDT pada musim ini.

Untuk pemain dengan reputasi yang dimiliki Forestieri menyertai JDT dan beraksi di Liga Malaysia, ia adalah satu keberuntungan untuk peminat bola sepak tempatan.

Dan walaupun baru sahaja separuh musim beraksi di negara ini, pemain kelahiran Rosario, Argentina ini sudah memahami kepentingan dan peranan pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) kepada JDT dan bola sepak Malaysia khususnya.

Melalui perkongsian di IG Story miliknya, Forestieri berkata:  “Ini berlaku kerana kerja keras selama bertahun.

“Bola sepak Malaysia perlu mengucapkan terima kasih kepada lelaki ini, @hrhcrownprinceofjohor.

Komen itu adalah reaksi Forestieri kepada sebuah artikel oleh portal MAKANBOLA yang menulis bagaimana prestasi cemerlang JDT telah meletakkan kedudukan MA Ranking negara berada di kedudukan ke-4 di zon Asia Timur.

JDT bukan sekadar pelengkap

Apa yang dikatakan oleh Forestieri sebenarnya boleh difahami dengan mudah. Satu ketika dahulu tiada siapa pun akan percaya saingan Liga Malaysia mampu menghasilkan sebuah kelab yang mampu memberikan cabaran di pertandingan elit kelab Asia, AFC Champions League (ACL).

Usah katakan mampu memberikan cabaran. Malah untuk mendapatkan peluang beraksi di pentas elit Asia itu juga sukar kerana pasukan-pasukan kita tidak mampu untuk melayakkan diri ke pertandingan berkenaan.

Namun JDT di bawah kepimpinan TMJ telah membolehkannya. Mungkin sebelum ini ada yang menyindir JDT hanya sekadar sebagai pelengkap kumpulan di pertandingan ini. Satu perkara yang ramai lupa dan terlepa pandang adalah ini semua adalah satu proses.

Musim demi musim, JDT terus membangun menjadi pasukan yang lebih matang di pertandingan ini. Mereka juga belajar daripada pengalaman, dan akhirnya pada musim ini kelab dari selatan tanah air itu mencipta sejarah tersendiri menjadi pasukan pertama dari negara ini layak ke pusingan kalah mati (ACL era moden).

Manfaat kepada Liga Malaysia

Dan JDT tidak menikmati pengalaman beraksi di pentas tertinggi Asia seorangan diri. Prestasi cemerlang pasukan itu yang selama ini secara solo mengutip mata MA untuk negara kini telah membuka lebih banyak ruang untuk pasukan dari Liga Malaysia bertanding di ACL pada musim-musim akan dayang.

Berada di kedudukan ke-4 zon Asia Timur, Malaysia kini diberikan slot 2+2 untuk ACL pada musim bermula 2024/25.

Ini bermakna dua pasukan Malaysia akan terus ke peringkat kumpulan, dan dua lagi pasukan akan layak beraksi di pusingan play-off.

Mesej yang cuba disampaikan oleh Forestieri boleh didahami. Peranan TMJ bersama JDT sehingga memungkinkan lebih banyak kelab Liga Malaysia beraksi di ACL semenangnya tidak boleh dinafikan.

Persoalannya, bersediakah pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia mengikut rentak dan piawai yang diletakkan oleh JDT di ACL?

Kongsi artikel ini