Expand To Show Full Article
Bola Sepak Akar Umbi Dalam Negara Rekod Kerugian Tidak Kurang RM11.5 Juta Sebulan - Grandstand Kita

Bola Sepak Akar Umbi Dalam Negara Rekod Kerugian Tidak Kurang RM11.5 Juta Sebulan

Sekurang-kurangnya ramai boleh menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan beberapa bidang sukan di dalam negara untuk kembali memulakan latihan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 dimulakan pada pertengahan Mac lalu, industri bola sepak tidak terkecuali daripada menerima impak kewangan.

Pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier misalnya terpaksa memotong gaji pemain dan pegawai demi survival masing-masing.

Laporan Stadium Astro pada April lalu berkata industri bola sepak tempatan mengalami kerugian sehingga RM100 juta jika saingan bola sepak pada musim ini dibatalkan terus.

Dah boleh start training bola?? Adakah ini berita gembira untuk mereka-mereka yang involve dalam bolasepak di peringkat…

Posted by Blublack ARENA on Monday, 8 June 2020

Tetapi bagaimana pula dengan bola sepak akar umbi, termasuk akademi bola sepak tempatan, saingan bola sepak sosial dan komuniti yang dilihat tumbuh subur di seluruh negara sebelum ini?

Satu rancangan Live di Facebook BlueBlack Arena berjudul: Ada Apa Dengan Bola mengupas isu ini.

Menampilkan Hanif Miswan sebagai moderator, Ada Apa Dengan Bola menampilkan empat panel iaitu, Nadzry Abu Bakar (Arena Legacy), Hermy Rahim (KV League), Khal (Padang Bolasepak), dan Ziswandy (Momentumgoal).

Nadzry Abu Bakar dari Arena Legacy berkata kajian yang dilakukan menunjukkan bola sepak sosial dan amatur mengalami kerugian RM11.5 Juta sebulan sepanjang PKP.

Ia meliputi kos secara langsung melibatkan operator padang dan venue yang ada di dalam negara, pendapatan yang mungkin diperolehi pengadil, pendapatan pasukan dan pengurusan.

Begitu juga dengan penganjur liga (sosial dan komuniti), jurugambar, live streaming, pengulas, jurulatih sepenuh masa dan separa masa, fisioterapi. Tidak ketinggalan yang turut menanggung kerugian adalah mereka yang terlibat secara tidak langsung seperti pembekal peralatan sukan, dan akademi bola sepak swasta.

“Ini ramai yang tidak sedar di Malaysia. Bola sepak bukan lagi sekadar riadah untuk pemuas nafsu (minat). Tetapi merupakan industri yang sudah besar di Malaysia,” ujar Nadzry.

Sebagai pengendali kelab Liga M3 Hermy Rahim pula berkata Klasiko FC menyambut baik pembatalan Liga M3.

“Klasiko FC baru melalui 2-3 game dalam M3. Tetapi di Klasiko pemain diberi elaun, bukan gaji. Pemain dah tentu nak game. Tanpa game, tiada pendapatan bagi mereka. Perkara begini sedikit sebanyak memberi tekanan.

“Kemudian selepas sebulan sponsorship mulai tarik diri. Tapi itu kita kena faham penaja juga terjejas dan kita tak nak mana-mana pihak terbeban. Kita tak nak letak dan bagi harapan kepada penajaan dan pemain,” jelas Hermy lebih lanjut.

Tidak terkecuali daripada impak kewangan adalah akademi bola sepak swasta di dalam negara.

Coach Ziswandy dari Momentumgoal, iaitu sebuah akademi bola sepak sosial swasta, kerugian adalah berbeza bergantung kepada saiz operasi.

Ini kerana kos penyelenggaraan, dan sewa padang dan peralatan yang masih perlu ditanggung walaupun tanpa latihan.

Namun objektif utama setiap akademi selepas ini ialah untuk mengumpulkan semula minat pelatih untuk kembali bermain bola sepak.

Menurut Khal dari Padang Bolasepak – sebuah NGO rekreasi – satu standard operation procedure (SOP) harus disediakan oleh semua pihak dari setiap lapisan industri untuk memastikan bola sepak boleh dimainkan semula dalam masa terdekat.

Ada Apa Dengan Bola?

Ada Apa Dengan Bola? LIVE NOW!!!!

Posted by Blublack ARENA on Wednesday, 10 June 2020

Ini bagi mencari solusi terbaik untuk bola sepak new normal.  Apa yang penting ialah untuk mencari solusi yang kolektif untuk semua pihak.

Selain daripada membantu operator yang terlibat dalam industri, semua pihak turut perlu melihat keperluan konsumer yang turut berubah secara tidak langsung akibat impak PKP.

Untuk kupasan lebih mendalam, anda boleh klik video dari Facebook BlueBlack Arena yang kami kongsikan seperti di atas.

 

Kongsi artikel ini