‘Blunder’ Teruk Khairulazhan Dibolosi Hantaran Lintang Bergson Tersebar Sehingga Ke Peru

Gol ajaib Bergson da Silva ketika membantu JDT menewaskan Selangor FC 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Jun lalu telah tersebar sehingga ke benua Amerika Selatan, atau lebih tepat sehingga ke Peru.

Atau adakah lebih wajar kita kategorikan jaringan tersebut sebagai kesilapan dan gol sendiri oleh Khairulazhan?

Terbaru, rakaman video jaringan tersebut telah dikongsi oleh dua portal terkemuka Peru, MSN Peru dan juga portal America Deportes.

Jaringan tersebut dihasilkan oleh Bergson pada minit ke-54 perlawanan. Tatkala Malaysian Football League (MFL) mengiktiraf jaringan tersebut milik Bergson, ia sebenarnya kelihatan seperti gol sendiri.

Malah secara teknikal, ia harus menjadi gol sendiri oleh penjaga gol  Selangor FC, Khairulazhan Khalid kerana tertampan bola ke dalam gawang sendiri.

Kerana itulah kedua-dua portal yang berkongsi video tersebut menganggap jaringan ketiga JDT dalam perlawanan tersebut sebagai kesilapan daripada penjaga gol.

Melalui muat naik di Twitter, MSN menulis kapsyen: “Kesilapan teruk daripada penjaga gol di bola sepak Malaysia.”

America Deportes pula menyertakan kapsyen yang lebih tajam: “Sukar untuk diterima! Adakah anda [penjaga gol] meletakkan mentega di tangannya?”

Khairul Azhan yang menjadi penjaga gawang utama Selangor FC menerima kecaman para penyokong selepas beliau melepaskan lima gol dalam perlawanan berkenaan.

Prestasi hambar penjaga gol kedua kebangsaan yang ditunjukkan dalam keseluruhan perlawanan membangkit amarah daripada para penyokong Selangor.

Apa yang menjadikan penyokong Selangor naik angin ke atas Khairul Azhan adalah percubaan daripada Bergson dari sudut sukar di luar kotak penalti yang sepatutnya dapat diselamatkan oleh penjaga gol itu.

Ia adalah salah satu gol dari empat gol yang dilepaskan oleh Khairul Azhan yang dijaringkan dari luar kotak penalti.

Kongsi artikel ini