Bintang Drama Siri Netflix Squid Game Ucap Selamat Maju Jaya Buat Kim Pan-gon & Malaysia

Bintang drama bersiri popular yang disiarkan di Netflix, Squid Game, Heo Sung-tae sempat mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon dan pasukan Malaysia selepas pasukan itu mengesahkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Heo Sung-tae, membawa watak Jang Deok Su sering kali dikatakan memiliki iras muka dan rambut yang sama seperti Pan-gon di dalam drama bersiri itu.

Melalui muat naik di IG Story, Sung-tae berkongsi foto dirinya di dalam drama bersiri popular itu bersebelahan dengan foto Pan-gon.

Bersama-sama perkongsian tersebut disertakan kapsyen “Good Luck #Malaysia”.

Skuad Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri baru-baru ini apabila berjaya menamatkan penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia.

Kali terakhir pasukan negara beraksi di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa benua Asia itu adalah pada 2007 apabila menjadi tuan rumah bersama Vietnam, Indonesia, dan Thailand.

Kali terakhir layak secara merit pula adalah pada edisi ke-7 kejohanan pada 1980 apabila Kuwait menjadi tuan rumah.

Squid Game yang turut dibintangi pelakon hebat Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Jung Ho-yeon, Lee Byung-hun dan Gong Yoo bukan sahaja diterima baik di negara asalnya.

Malah drama thriller ini turut menjadi trending di 13 negara lain antaranya Malaysia, Singapura, Vietnam, dan Amerika Syarikat.

Drama tersebut menceritakan tentang 456 peserta dengan masalah hidup tersendiri direkrut dalam satu siri permainan kanak-kanak yang meragut nyawa.

Antara permasalahan yang dihadapi peserta termasuklah hutang keliling pinggang, menjadi pelarian, mencari rezeki di negara orang dan permasalahan mental.

Hadiah kemenangan keluar hidup-hidup daripada pertandingan tersebut adalah wang tunai lumayan berjumlah 45.6 bilion won (RM161 juta).

Kongsi artikel ini