“Bini Aku Pun Tak Tau” – Ciapan Maya Yoshida Persoal Fabrizio Romano Yang Seperti ‘Palatao’

Fabrizio Romano adalah antara wartawan bola sepak terkenal dunia. Kebiasaannya ciapan daripada wartawan kelahiran Itali itu adalah antara yang paling ditungu-tunggu oleh peminat bola sepak di seluruh dunia untuk berita perpindahan bola sepak.

Beberapa hari lalu Fabrizio Romano mengumumkan pemain pertahanan Jepun itu akan menyertai kelab Bundesliga Jerman, Schalke.

Kelab yang baru dipromosikan ke divisyen utama Jerman itu pada musim ini dilaporkan telah menandatangani pemain pertahanan veteran itu sebagai ejen bebas selepas menolak beberapa tawaran, termasuk oleh kelab Turki, Trabzonspor.

“Schalke 04 kini diambang untuk menandatangani Maya Yoshida secara percuma. Telah dimaklumkan beliau akan terbang ke Jerman esok untuk pemeriksaan perubatan,” tulis Fabrizio Romano.

“Schalke akan meneruskan era [pemain] Jepun [di kelab itu – Yoshida telah menolaj beberapa tawaran, termasuk oleh Trabzonspor.”

Tidak ada apa-apa masalah mengenai pengumuman oleh Fabrizio Romano itu, namun ia tetap mendapat perhatian Maya Yoshida kerana wartawan tersebut turut mengaitkan dirinya dengan Trabzonspor.

“Hebat sungguh lelaki ini. Isteri saya pun tidak tahu mengenai perkara itu. [Atau] mungkin saya yang tidak memaklumkan perkara tersebut kepada isteri saya. LOL.,” balas Yoshida.

Walaupun seperti mempersoalkan kewibawaan pengumuman yang dilakukannya, Fabrizo Romano sempat membalas dengan santai.

Malah wartawan Sky Italia itu membalas,” Terima kasih bro, Nikmati Schalke!” sambil disertakan dengan beberapa emoji.

Schalke ikat Maya Yoshida

Yoshida memilih untuk berhijrah ke Jerman selepas beraksi di Itali bersama Sampdoria. Sebelum ini pemain pertahanan itu turut pernah menyarung jersi Southampton di Premier League, VVV-Venlo di Belanda, dan Nagoya Grampus di J-League.

Pemain berusia 33 tahun itu dilihat sebagai pengganti kepada rakan senegara, Ko Itakura yang beraksi secara pinjaman daripada Manchester City sepanjang musim 2021/22 bersama Schalke.

Itakura kini telah melengkapkan perpindahan ke Borussia Mönchengladbach pada bulan ini.

Yoshida dianggap sebagai pemain yang cukup berpengalaman dan telah tampil dalam 72 perlawanan sepanjang dua musim setengah bersama Sampdoria.

Bersama Southhampton, pemain ini turut melakukan 194 penampilan untuk kelabnya di antara 2012 sehingga 2020.

Memiliki 119 caps untuk Jepun, Maya Yoshida adlah kapten pasukan negaranya sejak pertengahan 2019, dan dijangka akan memimpin pasukannya di Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar.

Kongsi artikel ini