Bergson Minta Maaf Kepada Rakan Sepasukan Kerana Lakukan ‘Kesilapan Besar’

Penyerang import daripada Brazil, Bergson da Silva tampil melakukan permohonan maaf kepada rakan sepasukan kerana kesilapan yang dilakukannya menyebabkan JDT beraksi dengan 10 pemain di dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi.

Di dalam perlawanan tersebut, Bergson terlebih dahulu berjaya menyamakan kedudukan buat JDT pada minit ke-37, selepas tuan rumah mendahului perlawanan pada minit ke-12 melalui jaringan Ronald Ngah Wanja.

Pemain yang telah meledak 25 gol di saingan MSL 2022 ini bagaimanapun menerima arahan keluar padang pada penghujung saingan babak pertama selepas tindakan beliau menghayunkan tangan ke kepala Rodney Calvin membuatkan pengadil perlawanan tiada pilihan lain selain melayangkan kad merah kepada pemain itu.

Bergson minta maaf

Sedar akan kesukaran yang dihadapi oleh rakan sepasukannya, Bergson melalui satu hantaran di IG Story memohon maaf kepada rakan sepasukan atas kesilapan besar yang dilakukannya dalam perlawanan ini.

“Minta maaf atas kesalahan besar yang saya lakukan.

“Terima kasih untuk kemenangan ini. Sebuah pasukan yang hebat. JDT Family,” ujar beliau ringkas.

Turut dikongsi adalah sebuah foto di mana pemain-pemain JDT sedang meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan.

Taktikal Bidoglio menjadi

Beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua di hadapan 15,000 penyokong tuan rumah memaksa pengendali pasukan, Hector Bidoglio tiada pilihan selain daripada melakukan sedikit rombakan pada permulaan babak kedua dengan memasukkan Syafiq Ahmad untuk menggantikan Akhyar Rashid.

Perubahan taktikal itu bagaimanapun berhasil, apabila Syafiq menyumbang kepada sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velasquez pada minit ke-60, selepas pemain itu dijatuhkan oleh Azmeer Aris.

Afiq Fazail kemudiannya melengkapkan kemenangan 3-1 JDT di Stadium Darul Aman hasil rembatan deras daripada dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Arif Aiman.

Kemenangan pada malam tadi bermakna JDT meneruskan rekod tanpa kalah mereka pada musim ini selepas mengharungi 19 perlawanan.

Juara Liga Super Malaysia sembilan kali berturut-turut itu kini sudah tidak tewas dalam 47 perlawanan di tempat lawan, dan ia merupakan rekod baharu di Liga Malaysia.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di antara satu sama lain sekali lagi pada 11 Oktober hadapan di Stadium Sultan Ibrahim di mana penyerahan trofi Liga Super dijangka akan diadakan pada ketika itu.

Kongsi artikel ini