Berbeza Dengan Pemain Malaysia, Bintang Indonesia Sindir Penyokong Sendiri Selepas Layak Ke Piala Asia

Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia adalah empat pasukan dari rantau Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Thailand dan Vietnam antara yang terawal melayakkan diri ke pertandingan tertinggi bola sepak Asia itu.

Malaysia pula mengesahkan kelayakkan selepas membenam Bangladesh dengan jaringan 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.

Seperti Malaysia, negara jiran, Indonesia turut berjaya meloloskan diri ke pertandingan tersebut buat pertama kali secara merit sepanjang tempoh 20 tahun lalu selepas membelasah Nepal 7-0.

Malaysia dan Indonesia melayakkan diri ke Piala Asia sebagai salah satu naib juara terbaik di pusingan ketiga kelayakan untuk melengkapkan senarai 24 pasukan yang akan bertanding pada tahun hadapan.

Kejayaan bersejarah Malaysia

Sudah lumrah dan asam garam sebagai pemain bola sepak profesional, sudah pasti tidak akan lari daripada kritikan penyokong.

Pemain akan dipuji secara melambung ketika mengecapi kejayaan, dan adakalanya dihina melampaui batas setiap kali gagal.

Perkara tersebut sudah biasa dihadapi oleh barisan pemain skuad kendalian Kim Pan-gon sejak beberapa musim lalu.

Antara yang paling sering dikecam adalah pemain naturalisasi seperti Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh.

Kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Farizal Marlias sehingga menyebabkan kekalahan ketika menentang Bahrain turut dikritik peminat bola sepak tempatan.

Namun semua itu dilupakan sebaik sahaja perlawanan menentang Bangladesh berakhir semalam.

Menyedari sorakan padu peminat yang digelar ‘pemain ke-12’ merupakan pembakar semangat untuk menjulang nama Malaysia, barisan pemain Harimau Malaya turut sama-sama melakukan ‘viking claps’ selepas berakhir perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, deretan ucapan terima kasih oleh pemain kepada penyokong turut dikongsi di akaun media sosial masing-masing.

Ini kerana mereka menyedari peranan penyokong amat besar walaupun ada di kalangan mereka begitu lantang ketika mengkritik.

Perkara sebaliknya oleh Asnawi

Perkara sebaliknya pula dilakukan oleh bintang Indonesia yang berpengkalan di Korea Selatan, Asnawi Mangkualam.

Melalui muat naik di laman Instagram, beliau memuat naik satu mesej berbunyi:

“Diremehkan oleh bangsa-nya sendiri,” tulis Asnawi sambil membubuhkan gambar tepuk tangan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AMB. (@asnawi_bhr)

Kalimat Asnawi ini tentu merupakan sindiran pemain Ansan Greeners itu terhadap pihak yang meremehkan peluang Indonesia lolos ke Piala Asia 2023.

Sebagai seorang pemain profesional yang menjadi ikon kepada anak muda, adakah tindakan Asnawi ini dianggap wajar?

Indonesia seperti yang kita ketahui adalah salah sebuah negara yang gilakan bola sepak dengan jutaan penyokong fanatik.

Bola sepak pula sentiasa dianggap sebagai sebuah sukan yang mewakili maruah sebuah negara.

Kejayaan sebenarnya dikecapi sebagai sebuah pasukan, dan pemain ke-12 juga adalah sebahagian daripada anggota pasukan itu.

Akhirnya setiap pasukan berdiri di bawah satu bendera.

Kongsi artikel ini