Berapakah Gaji Yang Ditawarkan Untuk Meyakinkan Jordi Amat Ke JDT?

Melalui sidang media khas dan sesi bersama penyokong semalam, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan Jordi Amat bakal menyertai pasukan itu dalam masa terdekat.

Jordi Amat adalah pemain kelahiran Sepanyol tetapi memiliki pertalian darah dan asal usul dari Indonesia.

Ini menjadikan pemain pertahanan berusia 30 tahun itu layak untuk menyarung jersi skuad Garuda selepas proses dokumentasi pemain itu yang sedang diusahakan selesai.

Jordi dianggap sebagai seorang pemain di dalam kelas tersendiri, beraksi lebih dari 100 perlawanan di La Liga dan Premier League.

Dan baru-baru ini, pemain itu dikatakan telah menolak tawaran daripada kelab utama Liga Greece, Panathinaikos kerana pasukan itu tidak boleh memenuhi permintaan gaji yang dipintanya.

Jordi turut dikatakan tidak berminat untuk ke Greece, dan baru-baru ini pemain itu turut menyatakan kekaguman terhadap senario bola sepak di Asia terutamanya Asia Tenggara yang semakin berkembang.

Maka timbul pertanyaan berapakah gaji yang akan diterima oleh Jordi Amat sehingga beliau yakin untuk menyertai JDT.

Berapa gaji Jordi Amat?

Anggaran gaji Jordi Amat ini diselidik berdasarkan data yang dikongsi oleh Salary Sports.

Pada musim terakhirnya bersama KAS Eupen, pemain itu menerima gaji sebanyak  £369,200 setahun, atau bersamaan RM1.9 juta setahun.

Jumlah tersebut bersamaan dengan RM158,333 sebulan. Mengambil kira pengalaman dan kualiti yang dimiliki pemain ini, jumlah tersebut tidaklah begitu tinggi untuk seorang pemain import yang benar-benar memiliki kualiti.

Jumlah gaji Jordi Amat bagaimana pun lebih tinggi ketika beraksi bersama Swansea City di Premier League pada musim 2015/16.

Menurut Capology.com, Jordi Amat dibayar £30,000 seminggu, atau bersamaan £120,000 (RM648,289) sebulan ketika bersama kelab Premier League itu.

Ini bermakna gaji pemain ini semakin menurun saban tahun, dan mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat Jordi (termasuk JDT) hanya perlu membayar kurang daripada jumlah yang diterimanya bersama KAS Eupen sebelum ini.

Berdasarkan perkembangan ini, besar kemungkinan Jordi Amat hanya akan menerima sekitar RM100,000 sehingga RM150,000 sebulan, atau lebih rendah daripada itu sekiranya beliau berstatus pemain import ASEAN dari Indonesia.

Kongsi artikel ini