Benjamin Mora Maafkan Pengulas Mexico Mengumpat Ketika Siaran Langsung Kerana Lupa Matikan Mikrofon

Benjamin Mora menerima permohonan maaf daripada pengulas terkenal bola sepak Mexico, Christian Martinoli yang mengeluarkan kenyataan negatif mengenai jurulatih itu apabila lupa mematikan mikrofon ketika sedang bersiaran langsung.

Kejadian tersebut berlaku beberapa minggu lalu, pada ketika Atlas FC bimbingan Benjamin Mora sedang melalui waktu sukar – memenangi hanya satu perlawanan daripada 13 perlawanan di semua pertandingan.

“Saya baru sahaja menghubungi Benjamin Mora berkenaan audio yang tersebar pada Jumaat lalu. Amat jelas di sini, satu-satunya yang berperangai teruk adalah saya,” tulis Martinoli di Twitter peribadinya.

Kenyataan tersebut kemudiannya diulang ciap oleh Mora dengan jawapan: “Saya hargai tindakan [permohonan maaf] anda. Permohonan maaf anda diterima,” jawab Mora selepas itu.

Martinoli sememangnya seorang pengulas bola sepak yang dikenali kerana kenyataannya yang sentiasa berbaur kontroversi di Liga MX.

Namun kali ini beliau berhadapan masalah kerana lupa mematikan suis ketika sedang bersiaran langsung.

Insiden tersebut berlaku ketika Martinoli bersama dua lagi pengulas, Jorge Campos dan Luis Garcia sedang bersiaran langsung untuk perlawanan Puebla vs Chivas.

Perlawanan tersebut disiarkan di televisyen dan juga YouTube. Selepa perlawanan tamat, mikrofon dibiarkan terus berfungsi tatkala ketiga-tiganya sedang membincangkan mengenai dua jurulatih, iaitu Rafa Puente dan Benjamin Mora – dua jurulatih yang sedang hangat dikhabarkan akan dipecat oleh kelab masing-masing.

Pada mulanya, Jorge Camps dan Luis Puente membicarakan mengenai nasib Rafa Puente sekiranya Pumas UNAM gagal menewaskan Cruz Azul.

Martinoli kemudiannya menyampuk: “Sama juga jika mereka tidak pecat ‘melayu’ itu.” Kedengaran selepas itu Campos bertanya siapakah yang dimaksudkan oleh Martinoli.

“Siapa lagi kalau bukan pengendali Atlas,” jawab Martinoli.

Martinoli merujuk Benjamin Mora dengan cara sedemikian kerana sejarah Mora yang pernah bergelar pengendali di Malaysia bersama JDT dari 2017 sehingga 2022.

Kejayaan beliau bersama JDT yang memenangi pelbagai trofi sepanjang tempoh itu turut pernah menjadi bualan di Mexico, tetapi pada masa yang sama ramai juga meragui kemampuan Mora di negara itu.

Mora mengambil alih Atlas sejak awal musim, pada ketika kelab itu turut berhadapan dengan masalah prestasi di atas padang.

Namun sejak insiden yang dicetuskan Martinoli, Atlas telah merekodkan dua kemenangan meyakinkan, apabila menewaskan Olimpia 4-0 di CONCACAF Champions League, selain kemenangan dengan jumlah jaringan yang sama berhadapan Puebla di Liga MX.

Kongsi artikel ini