Benjamin Mora Kongsi Perbezaan Liga MX & MSL, Yakin JDT Mampu Cabar Kelab Mexico

Benjamin Mora bukan nama asing di dalam kancah saingan Liga Malaysia, khususnya di kalangan penyokong JDT.

Jurulatih berusia 40 tahun ini menyertai JDT pada musim 2016, pada mulanya bergelar pengendali JDTII sebelum mengambil alih sementara skuad utama Harimau Selatan pada 2017.

Walaupun bergelar pengendali interim pada ketika itu – setelah Mario Gomez meninggalkan JDT 4 hari sebelum Piala Sumbangsih.

Perjalanan Mora

Mora dianggap calon yang paling sesuai oleh Alistair Edwards kerana beliau sememangnya merupakan individu yang berada di dalam sistem JDT sejak sebelum itu.

Penghujung Musim 2018 menyaksikan Mora dilantik sekali lagi sebagai pengendali juara Liga Super itu menggantikan Raul Longhi. Beliau tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu.

Musim 2019 pastinya musim yang tidak dilupakan oleh Mora setelah berjaya membawa JDT muncul juara Liga Super buat kali ke-6 dan juara Piala Malaysia – buat kali kedua dalam sejarah singkat kelab ini.

Juga tidak dilupakan taktikal ampuh beliah memerangkap juara Asia, Kashima Antlers di Larkin yang menjadi kemenangan sulung pasukan negara dari selatan tanah air ini di pertandingan berprestij Asia, Liga Juara-Juara AFC pada musim lalu.

Musim ini kecemerlangan tersebut turut diulangi. Gagah menewaskan Kedah 1-0 untuk mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah di perlawanan pertama Liga Super, JDT berada di tangga teratasLiga Super 2020 selepas empat perlawanan – sebelum liga ditangguh.

Perlawanan menentang Vissel Kobe mungkin satu kejutan buat Mora dan barisan anak buahnya.

Keyakinan diri

Jika ada perkara yang kita boleh pelajari dari Mora dan JDT pada musim ini, ia adala keyakinan diri luar biasa yang memampukan mereka kekal bersaing di tahap tertinggi musim demi musim.

Hasilnya, Suwon Samsung Bluewings dibaham oleh Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim – arena serba moden kebanggaan rakyat Johor.

6 PERKARA DARIPADA KEJUARAAN KE-6 LIGA SUPER MALAYSIA MILIK JDTArtikel ini menyentuh mengenai 6 perkara berkaitan…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, 27 June 2019

Ditambah dengan pembangunan luar biasa di bawah kepimpinan Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab, maka tidak hairanlah mengapa Mora juga yakin JDT turut mampu mencabar dan setanding kelab luar negara yang lain, termasuk dari negara asalnya Mexico.

Dalam satu temuramah dengan Plano Deportivo – sebuah portal bola sepak berpengkalan di Mexico – Mora menyifatkan JDT mampu bersaing dengan mana-mana kelab di Liga MX, walaupun terdapat perbezaan ketara dalam aspek bola sepak di anyata Malaysia dan Mexico.

Perbezaan Malaysia dan Mexico

Bagi Mora tahap bola sepak di Liga Malaysia masih jauh berbanding di Liga MX. Tetapi hasil kerja keras semua pihak, beliau yakin JDT mampu bersaing dengan pasukan terkuat di Mexico jika kena caranya.

“Tahap liga adalah berbeza. Ini kerana Mexico sememangnya sudah memiliki budaya bola sepak untuk bertahun lamanya. Ia adalah sukan nasional di Mexico,” kata Mora.

“Di Malaysia ia bukan begitu. Bola sepak belum boleh dianggap sebagai sukan nasional. Tetapi ia diterima secara global, moden, dan perkara lain-lain yang berkaitan dengan sejarah bola sepak.

“Di sini semuanya telah tertanam sebegitu di kalangan peminat terutamanya setelah menerima pengaruh bola sepak Inggeris.”

“Jika kami [JDT] boleh bertanding di Liga MX sebagai sebuah pasukan, yang datang sebagai pasukan terbaik dari Malaysia dengan pelbagai kejuaraan, kami mungkin berada di pertengahan liga.

“Kami akan berusaha tetapi kelab seperti  Cruz Azul , América, Chivas atau Toluca adalah lebih berpengalaman dari segi bola sepak dan kualiti.”

Pemain Mexico sertai JDT?

Melalui temubual tersebut juga, Mora turut berkongsi mengenai kemungkinan pemain dari Mexico beraksi di Asia dan Malaysia khususnya.

“Kami pernah cuba membawa pemain dari Mexico, namun ia agak sukar. Liga Malaysia tidak mempunyai minat terhadap pemain dari Mexico. Mexico ibarat tidak berada di dalam peta [bukan kiblat bola sepak] di Malaysia.

“Namun saya sebenarnya yakin pemain dari Mexico mampu menyesuaikan diri di dalam pasukan seperti JDT kerana mereka memiliki kepantasan, mempunyai skill, tangkas, dan kesungguhan.

“Kami pernah berbincang dengan Jeromono Amione dari Mexico, tetapi turut mempunyai pasport Lebanon untuk diserap sebagai pemain import Asia, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.”

 Kembali ke Mexico

Satu hari nanti Mora turut tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Mexico, terutama bersama Atletico San Luis di Liga MX.

Namun beliau hanya mahu membiarkan masa untuk menentukannya. Buat masa ini, Mora masih punyai tugas bersama Harimau Selatan untuk dilaksanakan.

 

Kongsi artikel ini