Belgium Negara Pertama Batalkan Baki Saingan Liga, Anugerahkan Kejuaraan Kepada Club Brugge

Jupiler Pro League iaitu divisyen teratas di dalam piramid bola sepak di Belgium secara rasminya ditamatkan akibat penularan wabak COVID-19.

Pro League kini menjadi saingan liga pertama di Eropah menamatkan musim akibat wabak tersebut turut mengumumkan pendahulu liga, Club Brugge selaku juara.

Pengesahan penamatan saingan dilakukan melalui satu kenyataaan oleh Pro League semalam, setelah saingan tersebut sebelum ini ditangguhkan akibat COVID-19.

Melalui pengumuman tersebut Pro League berkata semua perlawanan yang telah diadakan sebelum ini adalah sah dan kedudukan terakhir sebelum saingan ditangguhkan adalah kedudukan terakhir liga.

Ini bermakna Club Brugge adalah juara Belgium untuk saingan pada musim ini.

Pro League juga berkata keputusan tersebut terpaksa diambil kerana tiada kemungkinan ianya akan ditamatkan pada penghujung Jun, melainkan beraksi di stadium tertutup.

Walaupun jika diteruskan sedemikian, ia tetap memberikan risiko kepada pemain dan kakitangan yang terlibat.

Pro League turut mengambil faktor pemain sudah tidak dapat melakukan latihan dengan cara yang sepatutnya sejak penangguhan, dan perkara ini hanya akan memberi risiko kecederaan.

Cadangan tersebut kini hanya memerlukan pengesahan dalam satu perjumpaan pada 15 April hadapan sebagai formaliti.

Kali terakhir Pro League beraksi ialah pada 7 Mac, dan Club Brugge mempunyai kelebihan 15 mata berbanding Genk di tempat kedua.

Pro League hanya berbaki satu perlawanan sahaja untuk dimainkan. Liga tersebut mempunyai 16 pasukan.

Namun demikian Pro League belum mengesahkan kelab manakah yang akan beraksi di Champions League dan Europa League.

Kebiasaannya 6 pasukan teratas akan bersaing antara satu sama lain untuk menentukan kejuaraan dan kelayakan ke pertandingan eropah.

Waasland-Bremen yang menduduki kedudukan terbawah pula sah akan disingkirkan ke divisyen bawahan..

 

Kongsi artikel ini