Belasah Filipina 4-0, Palestin Sudah Buka Laluan Untuk Malaysia Ke Piala Asia

Kemenangan besar Palestin ke atas Filipina sebentar tadi bermakna laluan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 menjadi semakin mudah.

Dalam perlawanan yang diadakan sebentar tadi, Palestin menewaskan Filipina 4-0 di Stadium Pusat Bola Sepak MFF, di Mongolia.

Malaysia pula akan berhadapan dengan Bangladesh di dalam aksi terakhir saingan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalul pada malam ini.

Berdasarkan keputusan perlawanan di antara Palestin dan Filipina, ini bermakna keputusan seri atau kemenangan tanpa mengira jumlah jaringan akan memastikan laluan pasukan negara ke Piala Asia tahunย  hadapan.

Hanya perlu mengelakkan diri daripada tewas, Malaysia akan menjadi sebagai salah sebuah pasukan daripada kalangan lima naib juara terbaik untuk melengkapkan slot ke Piala Asia.

Kali terakhir pasukan negara bertanding secara merit di Piala Asia adalah pada 1980, iaitu 42 tahun yang lalu.

Dalam perlawanan sebentar tadi Palestin menjaringkan dua gol pada babak pertama perlawanan melalui jaringan Saleh Chiladeh (minit ke-31) dan Tamer Seyam (minit ke-42).

Palestin terus melebarkan kedudukan pada babak kedua perlawanan dan memperolehi jaringan pada minit ke-55 melalui Mohammed Yameen dan Mahmoud Abu Warda pada minit ke-72 perlawanan.

Jumlah jaringan yang besar membolosi Filipina bermakna Malaysia akan muncul naib juara Kumpulan E sekiranya tidak tewas kepada Bangladesh, dan mengatasi Filipina dari segi kelebihan gol.

Kongsi artikel ini