Bekas Rakan Sepasukan Natxo Insa Di Celta Vigo Jadi Rekrut Terbaru JDT

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi mengumumkan pemain import terbaru pasukan itu, Levy Madinda.

Pemain antarabangsa Gabon itu sebenarnya bukan watak asing di dalam saingan Liga Malaysia. Ini kerana perancang tengah lincah itu pernah menyarung jersi Sabah FC pada musim lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu bagaimana pun tidak mengikat sebarang kontrak dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan Sabah FC sekitar Julai tahun lalu.

Tidak ada sebab jelas mengapa pemain itu tiba-tiba meninggalkan Sabah FC pada ketika itu selain daripada kenyataan daripada kelab dari Borneo itu ia adalah atas persetujuan utama.

Merantai Iniesta Dan Mengekang Messi

Madinda dianggap sebagai seorang pemain yang memiliki pengalam beraksi di Eropah seperti mana beberapa pemain import lain yang pernah menyarung jersi JDT sebelum ini.

Memiliki 29 penampilan bersama Celta Vigo di La Liga, antara perlawanan yang pasti tidak akan dilupakan Madinda ialah ketika menentang Barcelona dan berhadapan dengan pemenang Ballon d’Or sebanyak 6 kali, Lionel Messi.

Turut berada di dalam pasukan pada ketika itu adalah seorang lagi pemain JDT, Natxo Insa yang beraksi sebagai pemain kesebelasan utama sebelum berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan.

Barcelona bagaimana pun berjaya bangkit menyamakan kedudukan Cristian Tello sebelum tamat babak pertama perlawanan.

Madinda pula hanya dimasukkan pada minit ke-80 untuk merantai pergerakan Andreas Iniesta selepas Barcelona menjaringkan gol penyamaan seminit selepas itu.

Pertaruhan Celta nyata berjaya kerana Madinda berjaya mengekang Iniesta sekali gus menghadkan Messi daripada terus menerima hantaran untuk memburu gol kemenangan.

Madinda pilihan JDT

Perancangan JDT untuk membawa masuk seorang pemain perancang sebagai back-up kepada Leandro Velasquez di pertandingan AFC Champions League sebenarnya sudah diketahui umum.

Perkara itu sudah pun diumumkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebelum ini. Namun tidak ramai yang menjangka Levy Madinda akan menjadi pilihan.

Berdasarkan beberapa penampilan bersama pasukan Sabah pada musim lalu, Madinda dianggap sebagai seorang pemain yang memiliki kelincahan, kebolehan teknikal yang baik dan aksi bertenaga.

Malah selain daripada beberapa assist yang berjaya dihasilkan, Madinda turut berjaya menjaringkan 4 gol daripada 16 penampilan untuk Sabah di Liga Super Malaysia.

Kongsi artikel ini