Bekas Penaja Kelantan FC Bidas Norizam Tukiman Yang Mahu Pajak Stadium Shah Alam

Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) mempersoalkan kenyataan niat Norizam Tukiman atau lebih dikenali Zamsaham memajak stadium Shah Alam kepada kelab Kelantan FC untuk dijadikan sebagai ‘Home Based’ pasukan itu.

“Tak payah gebang! Kelab dekat Kelantan, kenapa nak pajak stadium di Shah Alam pula? Cadangan yang dia beri tidak praktikal langsung.

Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan Kelantan FC, saya rasa pelaburan untuk sukan ini tak ke mana buat masa ini,” jelasnya kepada Majoriti.

Pemilik Syarikat Beauty Vida Sdn Bhd itu mempersoalkan tindakan pemilik TRW menawarkan diri bagi menyelesaikan masalah stadium Shah Alam yang usang itu walaupun ia berada di dalam negeri Selangor.

“Dari roboh stadium tu, baiklah pajakkan ke TRW Kelantan FC. Insya-ALLAH saya bersedia #Zamburger,” kata beliau di laman Facebooknya bulan lalu.

Tawaran itu dinyatakan oleh pemilik kelab Kelantan FC itu ekoran khabar angin stadium yang yang menjadi stadium rasmi pasukan Selangor sejak tahun 1994 akan dirobohkan dan digantikan dengan stadium kecil yang berkapasiti 30 ribu sehingga ke 40 ribu penonton.

Bagaimanapun setakat ini , tiada kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Pada minggu lalu , para penyokong Selangor FC membuat perhimpunan secara aman yang memohon Sultan Selangor campur tangan agar kerajaan Selangor menarik balik keputusan merobohkan stadium yang banyak mencipta sejarah dan kenangan luar biasa terhadap pasukan kesayangan mereka.

 

Vida Beauty sebelum ini menjadi penaja utama Kelantan pada awal musim 2016 dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017.

Datuk Vida juga turut menjenamakan semula pasukan Kelantan dengsn Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dan mengecat semula Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bahru dengan warna merah jambu  yang sama dengan tema warna produknya seperti Qu Puteh dan Pamoga.

Bagaimanapun jodoh syarikat kosmetik berkenaan bersama dengan pasukan TRW hanya semusim sahaja ekoran rasa tidak puas hati Pengarah Eksekutif Vida Sdn Bhd akan prestasi yang tidak menentu oleh pasukan berkenaan.

Keputusan masa depan stadium yang pernah menjadi gelanggang Piala Dunia Remaja 1997 akan diputuskan pada 16 Julai nanti.

 

 

Kongsi artikel ini