Bekas Pemain JDT Tubuh Kelab Baharu Berlandaskan Akademi Bola Sepak Di Sepanyol

Bekas pemain JDT, Aaron Niguez bersama-sama dengans saudara kandungnya, Saul Niguez menubuhkan sebuah kelab bola sepak baharu yang berasaskan akademi dan pembangunan di Sepanyol.

Saul adalah adik kepada Aaron yang merupakan pemain tengah Atletico Madrid, dan kini sedang hangat diperkatakan bakal menyertai Manchester United.

Manakala Aaron sendiri yang kontraknya bersama JDT tamat pada Disember 2019 lalu telah menyertai Malaga C.F untuk kontrak jangka pendek sehingga tamat saingan musim ini.

Dan semalam Aaron dan Saul mengumumkan penubuhan kelab baharu yang dinamakan Club Costa City.

Berpengkalan di Bandar Elche di Sepanyol, Club Costa City akan menggabungkan lebih 30 pasukan, dan melibatkan lebih 500 pemain (lelaki dan perempuan) pada usia 4 sehingga 18 tahun.

Lebih menarik, Club Costa City akan ditaja oleh syarikat peralatan dan pembekal barangan sukan terkemuka dunia, iaitu Nike.

“Kami telah merancang projek yang mengujakan dan menarik ini selama beberapa tahun dan kini saya gembira kerana dibolehkan untuk mengumumkannya secara rasmi pada hari ini,” kata Saul dalam kenyataannya.

Aaron turut tidak menyembunyikan kegembiraan beliau akan pelancaran kelab baharu ini dalam kenyataan yang dikongsikan melalui ciapan di Twitter.

“Objektif utama [penubuhan] ialah untuk memberikan latihan yang padat dan menyeluruh untuk mencapai kejayaan peribadi dan sukan,” ujar beliau.

Projek Saul dan Aaron turut dikongsi kegembiraan oleh Atletico Madrid – kelab yang disertai oleh Saul sejak 2008 selepas meninggalkan akademi Real Madrid.

Kongsi artikel ini