Bekas Ketua Jurulatih Sri Pahang Yakin Azam Azih Boleh Ikut Jejak Langkah Nguyen Quang Hai

Bekas pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel berpendapat pemain tengah Sri Pahang dan skuad kebangsaan, Azam Azih mempunyai kemampuan beraksi di Eropah berdasarkan bakat dan prestasi yang ditampilkan pemain itu selama ini.

Ketika Gamel baru tiba mengendalikan Sri Pahang pada awal musim ini, jurulatih dari Perancis itu mengakui Azam tidak berada di tahap terbaik.

Bercakap lepada portal Harimau Malaya, Gamel turut mendedahkan pada ketika itu Azam Azih mengalami kecederaan dan pada ketika itu ia turut menjejaskan mentaliti pemain tersebut.

“Apabila saya mula mengambil alih Sri Pahang,  beliau (Azam) tidak berada dalam keadaan yang baik dan bergelut dengan kecederaan.”

“Selepas itu saya cuba untuk memberi tekanan kepada dirinya dan dia mula faham dan berusaha untuk meningkatkan permainan.”

Gamel turut berkongsi bagaimana Azam Azih mampu memberikan sumbangan secara taktikal yang diperlukan oleh pasukan-pasukan di Eropah.

“Pada saya beliau boleh beraksi di Eropah, mungkin bukan di liga utama tetapi di liga kedua seperti Ligue 2 kerana beliau ada kualiti yang sangat baik.

“Dia bermain bola sepak yang mudah, dan adakalanya kita memerlukan pemain sebegini untuk mematahkan garis pertahanan lawan,” tambah beliau lagi.

Namun demikian menurut Gamel, ada banyak faktor untuk melihat pemain seperti Azam beraksi di luar negara seperti di Ligue 2, terutamanya daripada segi mentaliti.

Pada hari ini, hanya Vietnam memiliki pemain beraksi di Liga Perancis itu apabila Nguyen Quang Hai menyertai Pau FC pada jendela musim panas lalu.

Quang Hai melengkapkan perpindahan ke Pau FC dariapada Hanoi FC pada Julai lalu dan diikat dengan kotrak selama dua musim bersama kelab divisyen dua Perancis itu.

Selepas melalui pra musim yang agak baik dan menjadi antara pilihan utama membarisi skuad Pau FC pada hari perlawanan pada permulaan musim, Quang Hai sendiri kini mengakui ia tidak mudah untuk mengekalkan tempat di dalam senarai kesebelasan utama.

Walupun berhadapan kesukaran, Quang Hai berpendapat ia masih terlalu awal untuk beliau menyerah kalah kerana percaya dirinya masih memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya itu.

Perkongsian daripada Quang Hai itu baru-baru ini memberi petanda saingan di luar negara tidak mudah. Seperti yang dikatakan oleh Gamel, pemain dari Malaysia seperti Azam Azih atau dari negara lain di rantau ini perlu memiliki mentaliti yang betul untuk mendapatkan tempat dan memastikan tempoh berkelana di Eropah tidak berakhir dengan sia-sia.

Kongsi artikel ini