Bekas Ketua Jurulatih Melaka United Diumumkan Pengendali Baharu Lion City Sailors

Kelab Liga Singapura, Lion City Sailors melantik jurulatih dari Serbia, Risto Vidakovic sebagai pengendali baharu pasukan itu berkuatkuasa serta merta.

Juara Liga Singapura 2021 itu mengumumkan pelantikan jurulatih berusia 53 tahun itu sebentar tadi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kim Do-hoon dari Korea Selatan sejak Ogos lalu.

Selepas musim yang cemerlang pada 2021, musim ini menyaksikan Sailors ditewaskan dengan  2 mata untuk kejuaraaan, selain turut disingkirkan daripada pertandingan Piala Singapura seawal peringkat kumpulan – walaupun memiliki bajet terbesar di kalangan kelab bertanding.

Pelantikan Vidakovic diharap boleh membantu mengembalikan Sailors kembali mengecapi kejayaan sepertimana yang diharapkan.

Pengalaman luas di Asia Tenggara

Vidakovic sebenarnya bukan watak asing di dalam kancah bola sepak Asia Tenggara.

Sebelum ini beliau pernah mengendalikan Ceres-Negros (kini United City FC) di Liga Filipina dan membantu kelab itu menjuarai tiga kejuaraan liga berturut-turut.

Pada musim terakhirnya di Filipina, beliau turut membawa kelab yang sama muncul juara Piala AFC Zon ASEAN.

Sebelum ini Vidakovic turut pernah mengendalikan Borneo FC di Liga 1 Indonesia sebelum turut pernah bergelar Ketua Jurulatih Melaka United pada awal musim ini.

Jodoh Vidakovic bagaimanapun tidak kekal lama apabila dipecat oleh Melaka United pada April lalu selepas prestasi kurang memberangsakan pasukan itu, sekali gus menjadi jurulatih pertama dipecat di saingan Liga Malaysia pada musim2022.

Sailors yakin kemampuan Vidakovic

Pengerusi Sailors, Forrest Li meluahkan kenyakinan bahawa Vidakovic adalah jurulatih yang tepat untuk membawa kelab itu terus ke hadapan selepas ini.

“Risto [Vidakocvic]adalah seorang pemenang bersiri di rantau ini dan telah membuktikan hasil kerjanya selama ini. Beliau mempunyai pengalaman sebagai jurulatih di Eropah dan mengenali budaya bola sepak di rantau ini,” ujar beliau.

“Falsafah bola sepak yang dipegangnya turut selarih dengan visi kami, dan perkara terpenting adalah beliau adalah seorang pemikir di dalam bola sepak dan boleh memainkan peranan sebagai seorang ayah kepada pemain, terutama kepada pemain muda.

“Saya teruja beliau menyertai pasuka ini.”

Vidakovic strategi Sailors

Vidakovic pula menjelaskan beliau tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan Sailors kerana bakat dan fasiliti yang dimiliki kelab Singapura itu.

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap tahap profesionalisme yang ditampilkan oleh kelab tersebut.

Selain Vidakovic beberapa laporan dari Singapura sebelum ini turut mengaitkan Sailors dengan pengendali KL City FC, Bojan Hodjak.

Sailors kini sedang berada di dalam proses penstrukturan semula berkaitan pendekatan mereka di dalam saingan musim hadapan dengan menekankan penjimatan daripada segi bajet, dan mahukan seorang pengendali yang benar-benar arif dengan bola sepak di rantau ini.

Kelab itu baru-baru ini melepaskan enam pemain tempatan yang menerima pendapatan tinggi untuk mengurangkan kos operasi pasukan.

Kongsi artikel ini