Bekas jurulatih ‘double treble’ yang juga dianggap sebagai legenda bola sepak Kedah, Azraai Khor Abdullah melabel situasi terkini yang berlaku di Kedah FA sebagai ‘memalukan’.
Sejak beberapa minggu lalu, kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjelaskan baki bayaran tunggakan gaji pemain bukan lagi perkara yang boleh disorok.
Pihak yang sebelum ini lantang membidas kritikan pihak luar mengenai isu tersebut juga kini membisu seribu bahasa – tidak seperti kebiasaan, tampil dengan kenyatan panjang dengan deretan alasan.
Kedah FA dianggarkan memiliki tunggakan sebanyak RM2.7 juta untuk pembayaran gaji pemain dan pegawai pada musim ini.
Posted by GK.Net on Friday, 15 May 2020
Suasana politik semasa di negeri tersebut juga tidak membantu, namun ia juga situasi yang seolah-olah dijadikan sebagai tempat ‘cuci tangan’ oleh pihak pengurusan KFA pada hari ini.
Menueut laporan, pemain dan pegawai skuad Lang Merah masih belum menerima gaji membabitkan tunggakan sejak Februari menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan menjelang Februari.
Situasi semasa ini dilihat telah mencemarkan status pasukan Hijau Kuning selaku antara pasukan elit di Liga Malaysia.
“Bagi saya [perkembangan] ini sungguh memalukan. Kedah tiada sejarah langsung dengan masalah gaji [sebelum ini],” ujar Azraai kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam semalam.
“Ini kali pertama [berlaku], memang sangat memalukan.”
Azraai yang berpengalaman luas membimbing beberapa pasukan lain di saingan Liga Malaysia seperti Negeri Sembilan, T-Team dan Kelantan turut mempersoalkan kaedah pengambilan pemain import yang tidak mendatangkan hasil.
“Beberapa pemain import yang diambil sekadar duduk di bangku simpanan,” tambahnya lagi.
Apa dah jadi? Janji tinggal gaji? pic.twitter.com/qavm4vyhBI
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 15, 2020
“Mengapa Kedah tidak ketengahkan pemain-pemain muda sebagai tujuan pembangunan, seperti [formula] kejayaan memenangi tiga kejuaraan dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum ini, naikkan [status] pemain B-21.
“Ketika itu, kami menggunakan khidmat rata-rata anak jati dan pemain pelapis. Tidak mengapa kalau ingin ambil pemain matang, tetapi ia tidak menjadi.
“Ia satu pembaziran, perancangan Kedah nampaknya gagal.”
Sumber: Stadium Astro