Bayangan Isyarat KBS Bakal Serap Khalid Jamlus Sebagai Jurulatih AMD?

Seperti semua sedia maklum, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah melakukan pertemuan dengan Khalid Jamlus berhubung isu berbangkit baru-baru ini.

Sebelum itu Khalid Jamlus mencuri tumpuan komuniti bola sepak tempatan apabila sanggup melelong memoralibia berharga yang diperolehi ketika masih bergelar pemain kerana desakan hidup.

Pertemuan tersebut diadakan secara tertutup menyebabkan ramai yang tertanya-tanya apakah intipati kepada pertemuan itu.

“Hasil pertemuan tersebut, insya Allah ada sinar untuk saya. Beliau ada menyuarakan idea bagaimana  saya boleh teruskan kehidupan pada masa akan datang,” kata Khalid ketika ditemui wartawan sejurus selepas pertemuan tersebut.

“Beliau ada memberi peluang yang bagus untuk saya pada masa akan datang. Tunggu dan lihat saja nanti,” katanya pada sidang media sejurus.

Ditanya wartawan lagi sekiranya peluang yang diberi oleh KBS nanti adalah di dalam sukan bola sepak, ini pula jawapan bekas pemain kebangsaan itu:

“Apa yang saya boleh cakap, peluang itu masih dalam bidang bola sepak yang berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya boleh curahkan ilmu dan pengalaman yang ada. Pengalaman itu mahal.

“Andai diberi peluang jadi jurulatih sekurang-kurangnya itu untuk masa depan saya. Saya ada pengalaman, inilah masa saya nak curahkan bakti saya tidak kisahlah di peringkat negeri atau kebangsaan.

“Tidak bertaraf lagenda tidak mengapa, janji pengalaman saya ini penting untuk mencurahkan ilmu kepada anak-anak muda,” jelasnya.

Bakal jadi jurulatih AMD?

Desas desus di media sosial mengatakan Khalid bakal ditawarkan sebagai jurulatih AMD oleh KBS.

Penjelasan oleh Khalid jika teliti memberi bayangan khabar angin itu mungkin ada benarnya.

Pada hari ini AMD berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang merupakan badan di bawah KBS – walaupun dikatakan diurus secara bersama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

KBS tidak berkuasa terhadap akademi-akademi bola sepak di bawah bidang kuasa persatuan negeri.

Tidak adil untuk jurulatih sedia ada?

Namun ada juga pandangan yang mengatakan ianya tidak adil sekiranya Khalid Jamlus terus diserap ke dalam AMD sebagai jurulatih.

Ini kerana rata-rata jurulatih yang berada di AMD pada hari ini bermula dari bawah dengan mengendalikan skuad Akademi Tunas, PLD dan sebagainya sebelum diberikan peranan yang lebih besar berdasarkan merit.

Bagaimana pula pendapat anda? Jika benar khabar angin ini, wajarkah Khalid diberikan peluang terus sebegitu? Atau mungkinkah Khalid harus diberikan peluang untuk bermula dari bawah terlebih dahulu sebagaimana jurulatih lain?

Kongsi artikel ini