Barcelona Sudah Mahu Jual Braithwaite Walaupun Baru Sebulan Tiba Di Nou Camp

Barcelona dikatakan sudah bersedia untuk menjual kembali Martin Braithwaite walaupun pemain itu baharu sahaja diumumkan sebagai pemain baharu di Nou Camp pada Februari lalu.

Laporan dari akhbar Sepanyol, Sport berkata keadaan kewangan gergasi Catalan tersebut akibat penularan wabak COVID-19 mendorong kepada keputusan tersebut.

Malah Barcelona dilaporkan turut dalam perancangan untuk memotong 70% pendapatan pemain skuad utama mereka dalam masa terdekat.

Bekas penyerang Middlesbrough ini mengejutkan bola sepak di Sepanyol apabila dibawa masuk oleh Barcelona pada Februari lalu akibat krisis kecederaan yang menimpa pemain utama mereka.

Tiba dengan nilai £15 juta dari Leganese, perpindahan Braithwaite turut mengundang kontroversi selepas bekas kelabnya mendakwa peraturan oleh La Liga itu tidak adil untuk kelab kecil seperti mereka.

Sepanjang sebulan bersama Barcelona, Braithwaite sempat beraksi dalam tiga perlawanan dan turut telah menghasilkan assist untuk idolanya Lionel Messi.

Namun laporan mengatakan Barcelona hanya membenarkan Braithwaite meninggalkan Nou Camp dengan nilai £16.1 untuk kelab yang berminat.

Kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham dan Everton antara kelab yang berminat membawa pemain Denmark itu kembali beraksi di England.

Braithwaite belum lagi sempat menjaringkan sebarang gol dalam tiga aksi sebelum ini, namun kehadiran dan peranannya sepanjang tepoh itu disenangi rakan sepasukan dan jurulatih.

Sports turut berkata pemain-pemain di dalam kem Barcelona juga sedar hakikat Braithwaite mungkin akan dijual pada jendela perpindahan seterusnya, walaupun beliau dilaporkan yakin mampu membuktikan dirinya bersama kelab.

Namun berdasarkan situasi semasa, ianya sukar untuk beliau menghadirkan impak selepas La Liga ditangguhkan sehingga ke tarikh yang tidak diketahui.

 

Kongsi artikel ini