Bakal Jadi Kelab Terkaya, Ini Cara Newcastle Lepas FFP Dan Berbelanja Mewah Selepas Ini

Newcastle United masih boleh tampil sebagai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan berbelanja paling banyak pada musim ini, tanpa menghiraukan tambatan kewangan oleh Financial Fair Play (FFP), jika pengambilalihan kelab tersebut oleh Arab Saudi selesai.

The Magpies masih menunggu pengesahan daripada pihak Premier League untuk melengkapkan pengambilalihan oleh Public Investment Fund of Saudi Arabia – konsortium yang mengetuai pengambilalihan sebanyak 80% daripada saham kelab.

Baki 20% pemilikan pula akan diambil oleh jutawan, adik beradik Reuben, dan PCP Capital Consortium yang diketuai Amanda Staveley.

Dan jika pengambilalihan tersebut diluluskan sepenuhnya, Newcastle United akan menjadi salah satu kelab terkaya di dunia. Malah menurut Shields Gazette, pemilik baharu kelab masih mampu berbelanja besar tanpa melangkaui peraturan FFP.

Bagaimana itu boleh berlaku?

Tidak perlu hirau peraturan FFP

Seorang pakar kewangan bola sepak, Kieran Maguire berkata beliau telah mengkaji kadar keuntungan yang diraih oleh kelab tersebut, dan berapakah kadar perbelanjaan yang dibenarkan menurut perundangan FFP.

“Saya telah mengkaji jumlah keuntungan, dan berdasarkan jumlah terkini, NUFC merekodkan keuntungan FFP sekitar £82 juta pada setiap akhir musim selama dua musim berturut-turut bermula ada 2018/19,” ujar Maguire.

“Kerugian yang dibenarkan pula [menurut FFP] adalah pada £105 juta selama tempoh tiga tahun.

“Jika kita mengambil kira pemilik baharu akan memberikan kontrak selama 4 tahun untuk pemain baharu, ini bermakna NUFC boleh membelanjakan sekitar £150-200 juta pada setiap jendela perpindahan – dan kekal pada had maksima yang ditetapkan oleh Premier League sendiri.

“Mungkin tidak ramai yang menggemari Mike Ashley, namun beliau meninggalkan legasi kewangan yang amat menarik untuk mana-mana hartawan yang berminat dengan pengambilalihan.”

Rekod lalu

Pada musim panas lalu, Arsenal menjadi kelab paling mewah berbelanja pada nilai £161 juta. Namun kebanyakkan jumlah yang digunakan adalah untuk membayar kos Nicolas Pepe bernilai £72 juta yang dibayar secara ansuran selama beberapa tahun.

Kelab-kelab Inggeris dijangka tidak akan mampu berbelanja secara mewah akibat penularan wabak – situasi yang mungkin akan memberikan impak selama bertahun lamanya.

Situasi tersebut bagaimana pun menjadikan Newcastle satu-satunya kelab yang mampu berbelanja besar sekiranya ingin berbuat demikian. Bayangkan dana sebanyak £200 juta selama dua atau tiga musim berturut-turut.

Era Mike Ashley sering dikritik oleh penyokong kerana kurangnya pelaburan untuk membawa pemain baharu ke St. James’ Park – turut menyebabkan kelab tersebut tersingkir ke Championship sebanyak dua kali.

Kini beberapa nama besar seperti Kalidou Koulibaly, Edinson Cavani dan Gareth Bale telah dikaitkan dengan kelab tersebut.

 

Kongsi artikel ini