Bakal Ikut Jejak Langkah Ayah, La Masia Sah Ikat Anak Ronaldinho

Anak kepada bekas bintang Brazil dan legenda Barcelona, Ronaldinho dilaporkan akan menyertai Blaugrana selepas sesi pemilihan yang dianggap berjaya pada Januari lalu.

Joao de Assis Moreira atau turut dikenali sebagai Joao Mendes menjadi bakat terbaru yang direkrut akademi terkemuka milik kelab Catalan itu, La Masia.

La Masia sebelum ini dianggap sebagai kilang pemain bola sepak terbaik dunia apabila menghasilkan ramai pemain terbilang seperti Lionel Messi, Xavi, Andres Iniesta, Cesc Fabregas, Gerard Pique dan ramai lagi.

Tatkala Ronaldinho adalah seorang pemain sayap dan beraksi di posisi tengah, Mendes pula adalah seorang penyerang.

Sesi ujian Mendes bersama Barcelona pada mulanya tidak berapa menjadi sebelum campur tangan Presiden kelab, Joan Laporta yang mahukan barisa kejurulatihan La Masia untuk lebih bersabar dengan pemain berusia 17 tahun itu.

Mendes akhirnya berjaya membuktikan keupayaan sebenar dan berjaya menghadirkan impak selepas beberapa minggu menghadiri sesi latihan dan pemilihan sebelum diserap ke dalam akademi La Masia.

Ronaldinho sendiri pada hari ini adalah duta kepada gergasi Catalan itu. Ini bermakna kehadiran Ronaldinho di Nou Camp selepas ini akan menjadi lebih kerap selepas anaknya turut menyertai kelab itu.

“Ya, dia juga akan datang sekarang,” ujar Ronaldinho ketika mengesahkan Mendes berjaya direkrut Barcelona ketika bercakap kepada Marca.

“Saya sendiri tidak pernah keluar dari kelab ini. Barcelona sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya. Di mana pun saya berada, Barcelona sentiasa bersama saya.

“Dan apabila anak saya menyertai kelab ini, kehadiran saya akan lebih dirasai.”

Mendes sebelum ini merupakan pemain Cruzeiro sebelum kontrak beliau bersama kelab itu ditamatkan.

Cruzeiro adalah kelab yang dimiliki oleh bekas rakan sepasukan Ronaldinho di dalam pasukan Brazil, iaitu Ronaldo yang memiliki 90% pegangan di dalam kelab tersebut.

Presiden Barcelona, Laporta turut mempunyai hubungan yang baik dengan ayah Mendes sejak sekian lama, dan Ronaldinho adalah antara pemain utama ketika era kegemilangan Barcelona ketika Laporta baru bergelar presiden kelab buat kali pertama.

Roberto de Assis, yang merupakan bapa saudara kepada Mendes turut berhubung terus dengan Laporta untuk membincangka perjanjian perpindahan ke Nou Camp.

Kongsi artikel ini