Bakal Doktor Perubatan ‘Pancing’ Hati Keli Boy

Baru-baru ini beberapa media tempatan melaporkan pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya dan bintang JDT, Mohamadou Sumareh telah bertunang dengan seorang gadis.

Berita pertunangan Sumareh atau turut dikenali dengan panggilan ‘Keli Boy’ itu mulai tersebar sejak beliau berkongsi sebuah foto di halaman Instagram peribadinya yang melamar seorang gadis.

Kelihatan seperti sedang menyarung sebentuk cincin kepada jari gadis tersebut, Sumareh turut memuatkan kata-kata: “Mood semasa: bertunang”.

Perkongsian tersebut turut mendapat reaksi daripada rakan sepasukannya di JDT yang mengucapkan tahniah.

Antara rakan pemain yang memberi ucapan tahniah ialah Dion Cools, Liridon Krasniqi, Saddil Ramdani, malah ahli politik, Yang Berhormat Syed Saddiq turut mengucapkan tahniah buat Sumareh.

Timbul persoalan, siapakah gadis yang berjaya memancing hati ‘Keli Boy’ itu.

Bakal doktor perubatan

Gadis bertuah yang berjaya memancing hati Sumareh sebenarnya dikenali sebagai Brenda Lima Rodrigues.

Tidak banyak yang dapat dikongsikan mengenai identiti gadis tersebut kerana Sumareh selama ini amat berahsia mengenai hubungan peribadinya dengan gadis itu.

Berdasarkan beberapa pencarian, Brenda adalah salah seorang pelajar jurusan Perubatan Biosains, dan sedang menuntut di salah sebuah universiti swasta di negara ini.

Tetapi Brenda sememangnya tidak asing lagi bagi Sumareh dan keluarganya apabila beberapa perkongsian foto di Instagram turut memperlihatkan gadis itu bersama-sama anggota keluarga Sumareh yang lain.

Malah pasangan tersebut turut menyambut Aidilfitri bersama-sama pada tahun lalu.

Bila nak kahwin?

Selepas mengumumkan pertunangannya, peminat Sumareh pasti tertanya-tanya bilakah pasangan tersebut akan berkahwin.

Mohamadou Sumareh bukanlah watak yang asing di dalam kancah saingan bola sepak negara.

Sumareh pertama kali beraksi di saingan Liga Malaysia untuk PDRM FA. sebelum turut pernah menyarung jersi pasukan Perlis sebelum menyertai Pahang FA pada 2017, dan menyarung jersi JDT sejak 2021.

Mohamadou Sumareh kemudiannya membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A bertemu Sri Lanka pada Oktober 2018, sekaligus bergelar pemain naturalisasi pertama negara.

Selain Sumareh, dua lagi pemain yang telah mendapat taraf naturalisasi dan beraksi bersama skuad kebangsaan ialah Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.

Apa-apa pun tahniah buat Sumareh dan semoga sentiasa berbahagia di sisi mereka yang tersayang.

Kongsi artikel ini