Sehingga kini pemain dan pegawai pasukan Kedah FA dilaporkan telah tidak menerima bayaran gaji sehingga lima bulan.
Ia bukan perkara baharu yang tidak diketahui umum. Satu persatu luahan daripada pemain di media sosial menjelaskan situasi kewangan yang menghantui pasukan ‘dianggap gergasi’ dari utara tanah air itu.
Dan selepas berdiam selama ini, akhirnya kapten pasukan Baddrol Bakhtiar membuka mulut mengenai situasi tersebut.
Harapan yang diletakkan terhadap pengurusan baharu di bawah pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor juga dianggap oleh Baddrol sebagai mengecewakan, dan tidak sepatutnya daripada Presiden KFA yang baharu dilantik itu.
Kedah FA dianggarkan memiliki tunggakan sebanyak RM2.7 juta untuk pembayaran gaji pemain dan pegawai pada musim ini.
Posted by Grandstand KITA – Tidak Rasmi on Friday, May 15, 2020
“Saya simpati dengan pemain. Saya lakukan ini untuk mereka.
“Sebagai pemain senior dalam pasukan, saya bersimpati terutamanya untuk pemain muda yang sering kali berkongsi kepayahan mereka kerana faktor kewangan.
“Jika ada keperluan untuk mengambil tindakan, maka hukumlah saya, bukan mereka,” ujar beliau kepada New Strait Times seperti disiarkan pada hari ini.
Baddrol juga tidak menyembunyikan kekecewaan beliau terhadap kenyataan Sanusi Md Nor baru-baru ini.
Apa pendapat penyokong Kedah? Apakah harapan anda untuk wajah baharu dalam tampuk kepimpinan KFA pada kali ini?
Posted by Grandstand KITA – Tidak Rasmi on Saturday, July 11, 2020
Bagi Baddrol kenyataan tersebut memberi gambaran tidak sepatutnya kepada pemain.
“Saya sedih dan kecewa. Sebelum ini janji-janji manis ditabur oleh bekas Presiden ((Datuk Seri Mukhriz Mahathir), namun akhirnya tiada hasilnya juga.
“Politikkan bola sepak bukan perkara yang baik. Ia sepatutnya tidak menjadi isu berkaitan gaji.
“Ia hanya memberi gambaran yang negatif.
“Sebagai pemain, kami juga berhak dibayar [gaji] kerana turut mempunyai komitmen.”
Badrrol yang beraksi bersama Kedah sejak 2005 turut menggambarkan perubahan mood di kalangan pemain ketika latihan yang dianggap suram.
“Sudah tidak ada muka gembira ketika latihan.
“Bukan sahaja pemain. Jurulatih dan pegawai pasukan yang terpalit turut terkesan sama.
“Buat masa sekarang, ramai pemain telah tampil kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan aduan.”
Baddrol turut mendedahkan beberapa pemain sudah pun merancang untuk meninggalkan skuad Lang Merah untuk bersama pasukan baharu pada musim hadapan.
Sumber: New Straits Times