B. Satianathan Respek TMJ Dan Presiden FAM, Minta Penjelasan Kerajaan Sarawak Dakwaan Datuk Posa

Bekas pengendali Sarawak United, B. Satianathan mengucapkan rasa terima kasih kepada Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia yang bertanya khabar mengenai kesihatan dirinya selepas terpaksa berehat seketika daripada bola sepak kerana masalah kesihatan pada musim lalu.

Malah Satianathan mendedahkan kepada Berita Harian, pemilik JDT itu turut menawarkan bantuan kepada dirinya ketika keadaan sukar itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemelut tunggakan gaji oleh Sarawak United kepada dirinya yang sehingga kini belum ada jalan penyelesaian – walaupun tempoh untuk kelab tersebut berbuat demikian sudah pun tamat.

“Datuk Posa sebagai pemilik kelab tidak pernah nak tanya mengenai kesihatan saya tetapi Presiden FAM, pegawai Selangor FC tanya keadaan saya.

“Paling ‘respect’ kepada Tunku Ismail yang bukan hanya tanya khabar tentang keadaan saya tetapi mahu bantu dari segi kesihatan saya. Inni menunjukkan betapa seorang pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.

Melalui laporan yang sama Satianathan turut meminta penjelasan kerajaan negeri Sarawak yang didakwa masih belum menyerahkan dana kepada Sarawak United seperti yang didakwa oleh Datuk Posa Majais.

“Sebelum ini kerajaan negeri cakap yang mereka sudah salurkan bajet yang besar untuk pasukan Sarawak United.

“Tapi surat yang saya dapat berkenaan tunggakan gaji, mereka (Sarawak United) cakap masih menunggu duit daripada kerajaan negeri dan mereka minta saya sabar dan tunggu.

“Sekarang ini saya nak tanya, siapa yang cakap betul ini? Kerajaan negeri cakap dah bagi tetapi pemilik (Posa) kelab cakap tunggu daripada kerajaan negeri.

“Tunggakan ini sudah lama dari musim lepas, jadi siapa yang bohong ini? Saya harap ada pihak yang tampil berikan pengesahan kerana isu ini sudah lama dan saya mahu tunggakan gaji itu,” katanya.

Kongsi artikel ini